Kes Felda: Isa kekal pengakuan tidak bersalah

Bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad berdepan 1 pertuduhan rasuah dan 9 pecah amanah melibatkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa atas 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan rasuah lebih RM3 juta akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Okt ini selama 13 hari.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh berkenaan selepas Isa, 70, mengekalkan pengakuan tidak bersalah ke atas semua pertuduhan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 7 sehingga 9 Okt dan bersambung 14 sehingga 25 Okt.

Hari ini merupakan sebutan kali pertama kes itu di Mahkamah Tinggi selepas kes berkenaan dibenarkan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen.

Terdahulu, Isa yang hadir ke mahkamah memakai kot kelabu dibacakan semula 10 pertuduhan itu satu persatu dan beliau berkata, “minta bicara” ketika ditanyakan jurubahasa apakah pengakuannya terhadap semua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Isa didakwa sebagai pengarah syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu melakukan pecah amanah ke atas dana tersebut dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan ahli Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat ahli Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana ahli Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada ahli Lembaga Pengarah syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga Ke-10, Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya, iaitu wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu ahli Lembaga Pengarah syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memohon mahkamah mengekalkan jaminan berjumlah RM800,000 yang dikenakan ke atas Isa ketika kali pertama didakwa di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Tiada sebarang bantahan dikemukakan peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Isa.

Allan turut memaklumkan kesemua dokumen berkaitan kes itu diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah namun katanya, terdapat 3 dokumen tidak lengkap dan akan diserahkan dalam minggu ini.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan Isa mengguna pakai jaminan terdahulu dan mengarahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah.