LTAT dakwa laporan kewangan alami kerugian terkumpul

Mohamad Sabu berkata laporan penuh kewangan LTAT tahun lepas akan didedahkan pada Jun atau Julai ini. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mendedahkan laporan kewangannya bagi 2017 sebenarnya mengalami kerugian terkumpul.

Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berkata keuntungan terkumpul sebanyak RM259.99 juta yang diumumkan sebelum ini sebenarnya mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM31.6 juta.

“Jabatan Audit Negara (JAN) mengemukakan Pendapat Berteguran berkaitan dengan 2 urus niaga yang dijalankan, menunjukkan ia tidak mematuhi piawaian pelaporan kewangan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Selasa lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata laporan penuh kewangan LTAT tahun lepas yang didakwa satu pembohongan akan didedahkan pada Jun atau Julai ini.

Beliau berkata pihaknya terpaksa menangguhkan laporan kewangan itu dari Mac disebabkan ia sedang diaudit.

Ahad lalu, Mohamad mendakwa laporan audit ke atas LTAT tahun lalu ialah satu pembohongan kerana ia tidak tepat dan tidak menunjukkan keadaan kewangannya secara telus.

Mengulas lanjut, Amlizan berkata berdasarkan Pendapat Berteguran JAN, ia menemukan 2 transaksi penjualan tanah yang sepatutnya tidak boleh diambil kira pada 2017.

Katanya, 2 transaksi itu berjumlah RM202.71 juta tidak boleh diiktiraf selaras dengan “Financial Reporting Standart 118” berkaitan pendapatan kerana kriteria pengiktirafan pendapatan tidak dipenuhi.

“Penjualan tersebut belum dimuktamadkan dan juga pendapatan tidak boleh diambil kira,” katanya.

Amlizan juga berkata sekuriti sedia untuk dijual berjumlah RM1,602.52 juta tidak tepat.

Katanya, kemerosotan bagi 2 sekuriti sedia untuk dijual yang berjumlah RM88.90 juta tidak dilaporkan di dalam penyata kewangan LTAT.

“Nilai sebenar bagi 2 saham tersebut pada akhir Disember 2017 adalah RM18.46 juta berbanding dengan kos pembelian sebanyak RM107.36 juta.

“Penurunan nilai pasaran daripada kos yang signifikan atau berlanjutan adalah pertimbangan bahawa aset kewangan telah terjejas,” katanya.

Amlizan berkata impak daripada hasil penemuan itu menyebabkan keuntungan LTAT pada 2017 menurun daripada RM662.17 juta ke RM370.56 juta.

Katanya, disebabkan itu LTAT perlu mengemaskini semula laporan kewangan 2017 dan 2018.

“Itu akan ambil kira bagi menentukan akaun tepat dan dapat meneruskan pengumuman laporan kewangan LTAT 2018 dan dividen selewetnya pada Julai.

“Ini bagi memberi gambaran tepat dan LTAT sedia menjaga kebajikan tentera sedia dan tambah baik,” katanya.