Najib akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

KUALA LUMPUR: Najib Razak akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana melanggar larangan menyiarkan Kertas Putih Felda sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.

Usul merujuk bekas perdana menteri itu ke jawatankuasa berkenaan diluluskan melalui undian blok di Dewan Rakyat hari ini.

Usul itu disokong 86 ahli Parlimen, manakala 33 lagi membantah.

Usul asal itu hendak menggantung Najib daripada sidang Dewan Rakyat selama 3 bulan kerana melanggar sekatan menyiarkan Kertas Putih Felda itu.

Menurutnya, ahli Parlimen Pekan itu melanggar Peraturan Mesyuarat 95A.

Najib dilaporkan memuat naik petikan kertas putih itu ke Facebooknya pada Selasa, walaupun embargo dokumen itu hanya ditarik balik pada 11.30 pagi semalam.

Petikan itu mengenai pembelian 37% saham dalam Eagle High Plantations di Indonesia oleh Felda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam ucapan penggulungannya memberikan kronologi kejadian itu.

Katanya, sekretariat Parlimen memuat naik satu senarai 3 perkara pada 9 April lalu yang mengandungi laporan tahunan dan penyata kewangan.

Liew (Warisan-Batu Sapi) berkata, kertas putih itu bukan satu daripada dokumen itu.

“Tiada akses kepada mana-mana pautan pada 9 April. Pada hari sama jam 3 pagi, pegawai Parlimen mengedarkan salinan dokumen itu yang diletakkan di meja ahli Parlimen.

“Apa yang berlaku selepas itu, berdasarkan fakta ialah pada 5.39 petang, anda boleh lihat sekeping gambar mengenai dokumen itu di akaun media sosial Najib.”

Pada 11.43 pagi keesokannya, beliau berkata, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali bangun untuk membentangkan kertas putih di Dewan Rakyat.

“Hanya pada 11.51 pagi, iaitu 8 minit kemudian, ‘soft copy’ kertas putih itu dimuat naik ke laman web Parlimen.”

Liew turut menyentuh isu sekeping gambar didakwa mengandungi pautan kepada kertas putih itu yang dibangkitkan Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika perbahasan.

“Pautan itu, seperti yang dibangkitkan Pontian, tidak mungkin memaparkan kandungan kertas putih itu. Ia hanya memaparkan satu senarai tajuk yang akan dibentangkan.

“Anda hanya boleh akses pautan itu selepas 11.51 pagi 10 April.”

Bagaimanapun, Ahmad dan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bertegas dokumen penuh boleh dilihat, bukan hanya tajuknya.

Beberapa ahli Parlimen BN turut memetik laporan Bloomberg mengenai bantuan kewangan kerajaan kepada Felda.

Mereka berkata, maklumat itu boleh diperolehi dari laman web Parlimen.

Bagaimanapun, Liew berkata, isu yang dibangkitkan ahli Parlimen itu boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.