Noraini Ahmad ambil alih pengerusi PAC

Ahli Parlimen Parit Sulung, Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional, Noraini Ahmad mengambil alih jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini selepas usul menggantikan Ronald Kiandee diluluskan Dewan Rakyat.

Noraini, ahli Parlimen Parit Sulung selama 3 penggal juga merupakan ketua Wanita Umno. Beliau dilantik sebagai ahli PAC pada Ogos tahun lalu, menggantikan bekas ketua PAC Hasan Arifin.

Kiandee, yang juga ahli Parlimen Beluran, meninggalkan Umno Sabah dan menyertai PPBM pada 15 Mac.

Noraini berkata beliau akan mengambil tugas itu dengan penuh tanggungjawab, lebih-lebih lagi menjadi pengerusi PAC perempuan yang pertama di negara ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob yang mencadangkan namanya untuk jawatan tersebut.

“Saya juga ucap terima kasih kepada Ronald yang mengetuai 4 bulan dalam PAC.

“Amanah ini begitu berat dan dapat melakukannya bersama bantuan, sokongan ahli PAC lain,” katanya.

Ronald juga menyambut baik usul menggantikannya sebagai pengerusi PAC sebagai bukti kerajaan PH memenuhi janji manifesto pilihan raya umum ke-14 dalam melaksanakan reformasi kepada institusi Parlimen.

“Terima kasih kepada 13 ahli-ahli PAC yang sentiasa memberikan kerjasama erat kepada saya sepanjang saya menjadi pengerusi PAC Parlimen,” katanya.