Pembangkang: Tak perlu ‘rigid’ dalam isu MB Johor

Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang berkata tidak perlu “rigid” dalam mempertahankan hak masing-masing berdasarkan undang-undang berhubung pelantikan menteri besar Johor yang baru.

Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang penting ada keharmonian antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Kalau semua pegang pada undang-undang tapi keharmonian tidak ada pun tidak ada makna.

“Undang-undang adalah sangat jelas, kuasa perdana menteri, kuasa sultan, tetapi mesti ada usaha untuk mengharmonikan keadaan. Apa yang penting rakyat dan negara,” katanya di lobi Parlimen.

Semalam, Dr Mahathir mempertahankan pendiriannya yang istana tiada kuasa mutlak dalam pelantikan menteri besar, selepas Sultan Johor meminta pihak tertentu tidak mencampuri urusan negeri itu.

Kenyataan itu menyusul beberapa jam selepas perdana menteri dilaporkan berkata, parti pemerintah yang berhak melantik menteri besar Johor baru, bukannya istana Johor.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dilaporkan meminta pihak tertentu berhenti bertelagah mengenai politik dan menumpukan usaha menjaga negara.

Jawatan itu kosong susulan peletakan jawatan Osman Sapian, Isnin lalu. Osman dilantik sebagai menteri besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018.