Pemimpin Jepun bunuh diri jika gagal pinda perlembagaan, kata Zahid

Zahid Hamidi (berdiri) ketika menyampaikan ceramah dalam program Program Ramah Mesra Bersama Zahid di Taman Angsamas, Rantau malam tadi.

SEREMBAN: Pemimpin Jepun akan bertindak melakukan harakiri iaitu membunuh diri jika gagal mendapat sokongan majoriti bagi meminda perlembagaan, kata Presiden Umno Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian mengulas kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminda Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

“Saya tahu untuk meminda perlembagaan mereka harus dapat 2/3 manjoriti, ertinya harus ada 145 undi di Parlimen.

“Kalau di Jepun memang harakiri.

“Elok bunuh diri sebelum dibunuh, sebab mereka yakin dengan pindaan perlembagaan semalam, bagaimana soal hak rakyat Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian 1963 dicabar,” katanya dalam ceramah Program Ramah Mesra Bersama Zahid di Taman Angsamas, Rantau malam tadi.

Harakiri adalah amalan yang menjadi aspek penting dalam masyarakat feudal Jepun terutama dalam kalangan samurai.

Di negara matahari terbit itu, ritual tersebut dianggap sebagai cara kematian yang mulia.

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 tidak lulus di Dewan Rakyat semalam kerana kerajaan gagal memperoleh sokongan 2/3 ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali.

RUU itu tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ke-3 kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Mengulas lanjut, Zahid berkata PH gagal mendapat undi majoriti kerana mereka tidak mengikut saluran yang betul dalam membuat pindaan.

Katanya, kerajaan PH sepatutnya mengemukakan cadangan itu kepada DUN berkaitan dan perlu mendapat sokongan 2/3 Adun.

“Sepatutnya apabila ianya melibatkan perlembagaan, terutamanya negeri merdeka, DUN di negeri berkenaan hendaklah bersidang dulu.

“Apabila ia menang baru diangkat kepada yang dipertua negeri setelah mendapat perkenan. Barulah yang dipertua negeri boleh bawa ke Parlimen,” katanya.

Sokongan ubah had umur pengundi

Zahid turut menyokong langkah kerajaan meminda had umur mengundi kepada 18 tahun, katanya, ia akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

“Wahai kerajaan, aku nak ingatkan kamu, anak-anak muda terutama berumur 40 tahun ke bawah, kebanyakan mereka menentang arus.

“Sekarang ini kami pembangkang, kami dianggap sebagai penentang arus, cubalah bawa ke Parlimen pinda perlembagaan turunkan umur pengundi 18 tahun, mereka itu (orang muda) akan bersama dengan kita BN,” katanya.