Penyokong PH, NGO bantah Program Dwibahasa berperang mulut di Rantau

Seorang lelaki yang disyaki penyokong PH cuba menendang seorang lagi lelaki (4 dari kiri) yang dihalang beberapa individu di Dataran Rantau, Seremban, hari ini.

SEREMBAN: Dua hari menjelang pengundian bagi pilihan raya kecil Rantau, kekecohan tercetus akibat perang mulut antara penyokong Pakatan Harapan dan sebuah badan bukan kerajaan yang mengadakan bantahan terhadap pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di Dataran Rantau.

Penyokong PH mendakwa NGO yang datang dari luar Rantau itu cuba mencetuskan kekecohan, manakala NGO itu pula mendakwa penyokong PH sengaja melakukan provokasi terhadap mereka.

Wakil NGO itu, Theyaagu Loganaden berkata, bantahan itu yang bertujuan mendesak kerajaan PH menolak DLP dan mengutamakan bahasa ibunda, berjalan secara aman pada mulanya.

Bagaimanapun, katanya, 15 minit kemudian, sekumpulan penyokong PH muncul dan merampas kain rentang mereka, sebelum memulangkan kain rentang itu kepada NGO berkenaan.

“Mereka datang buat provokasi dan rampas kain rentang kami, selepas itu berlaku perang mulut.

Penyokong PH dan NGO bertikam lidah sebelum polis tiba di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

“Kami hadir hari ini untuk menyatakan bantahan kami kepada kerajaan PH. Dulu masa mereka jadi pembangkang, mereka bersama kami bantah DLP.

“Masa zaman Barisan Nasional, kita bersama pemimpin PH masuk longkang. Tetapi, sekarang bila sudah jadi kerajaan, mereka biar kami masuk longkang seorang,” katanya selepas bantahan itu berakhir.

Keadaan kembali tenang selepas lebih 30 minit perang mulut dan adegan tolak-menolak antara 2 kumpulan itu. Tiada kecederaan dilaporkan.

Polis kemudiannya mengarahkan penyokong PH bersurai dan NGO itu dibenarkan meneruskan bantahan mereka yang turut dihadiri penyokong BN.

Theyaagu menyeru pengundi Rantau menolak calon PH, Dr S Streram kerana tidak mengutamakan bahasa ibunda dengan meneruskan pelaksanaan DLP.

“Kami jumpa calon PH, Dr Streram untuk mengadu isu DLP, dia kata dia sibuk. Kalau sekarang dia tak layan kami, lepas menang kerusi, dia akan hilang entah ke mana. Jadi, jangan sokong dia.

“Kami jumpa Tok Mat, beliau sokong usaha kami. Kami bukan orang politik, tapi kami mahu orang Rantau tolak Streram,” katanya merujuk calon BN, Mohamad Hasan.

Wakil NGO itu, Theyaagu Loganaden.

Katanya, ahli kumpulan NGO itu ialah penyokong PH dari Lembah Klang, tetapi ada segelintir penyokongnya yang merupakan pengundi Rantau.

Pada 26 November 2018, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, kementerian itu sedang menjalankan kajian lebih komprehensif mengenai impak pelaksanaan DLP untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

DLP memberi pilihan kepada sekolah yang menyertainya untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris, selain Bahasa Melayu bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan berkata, objektif pelaksanaan DLP ialah menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada 4 Januari 2018, Kementerian Pendidikan mengumumkan 1,303 sekolah akan melaksanakan DLP bagi tahun itu, termasuk memberi kelulusan kepada 88 sekolah baru untuk melaksanakan program itu.