PH cuba rasuah pengundi dengan sumbangan Aidilfitri, kata Tok Mat

Calon BN bagi PRK Rantau, Mohamad Hasan berkata, pemantau pilihan raya yang dilantik sepatutnya menghentikan program yang bercanggah dengan peraturan pilihan raya.

SEREMBAN: Mohamad Hasan mendakwa penganjuran majlis bantuan Aidilfitri di sebuah kelab dekat Bandar Sri Sendayan di sini, semalam, adalah cubaan untuk merasuah pengundi Rantau.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian merujuk kepada majlis yang sepatutnya dihadiri seorang exco kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Pakatan Harapan (PH), namun dibatalkan oleh pihak penganjur selepas ia dibantah oleh Umno.

“Banyak kempen pihak sebelah sana (PH) yang kalau diperhalusi betul-betul, terang-terang langar peraturan pilihan raya. Saya minta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) ambil tindakan segera terhadap laporan polis yang dibuat.

“Semalam hampir-hampir sahaja dibuat di Sendayan untuk berikan duit raya kepada pengundi. Walaupun kuasa belum dapat lagi, tapi duit raya sudah diberi. Sangat cekap.
“Saya jangkakan ini salah satu rasuah pilihan raya. Apabila kita buat laporan polis, maka mereka batalkan,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan utama BN, bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berjalan

Semalam satu majlis penyerahan cek pendahuluan sempena sambutan Aidilfitri di sebuah kelab di Bandar Sri Sendayan yang terletak dalam DUN Rantau anjuran sebuah syarikat pemaju yang sepatutnya dihadiri oleh seorang exco negeri dibatalkan.

Menurut sumber yang ditemui FMT, program yang sepatutnya dihadiri lebih 100 orang itu dibatalkan kerana dibantah oleh penyokong Umno.

Sementara itu, pihak penganjur majlis itu tidak membenarkan media membuat liputan sambil memberitahu program tersebut pada awalnya dibuat secara tertutup.

“Kami tidak boleh buat. Apa-apa penjelasan, pembatalan ini mungkin sebab pilihan raya,” katanya yang enggan dikenali.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, banyak lagi program anjuran PH melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

“Selain itu, kita dapat tahu ada aktiviti tukar minyak hitam, baiki motor, basuh kereta percuma, buat majlis makan besar-besaran yang dihadiri Anwar Ibrahim. Pemimpin PH juga datang.

“Sebagai parti kerajaan, kalau pun sudah terdesak, buatlah kempen yang tidak langgar peraturan,” kata Mohamad yang juga merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, SPR sepatutnya berlaku adil dan bertindak menghentikan program anjuran PH yang secara terang-terangan melangar akta pilihanraya.

“Saya harap pemantau pilihan raya yang dilantik jalankan tugas dengan baik. Banyak benda yang kita tahu, terang-terang menyalahi peraturan pilihan raya.

“Pemantau pilihan raya yang dilantik sepatutnya hentikan program begitu. Kita bukan cakap soal bidang kuasa SPR untuk mendakwa, tapi tugas yang diberikan untuk memantau kerana mereka boleh bertindak hentikan program yang menyalahi peraturan,” katanya, dengan menambah jika kesalahan itu melibatkan BN, SPR dengan pantas akan mengambil tindakan.

PRK Rantau Sabtu ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Mohamad dengan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.