Rafizi mengaku suruh Streram rempuh polis pada PRU14

Rafizi Ramli memberi ucapan dalam ceramahnya di Rantau, malam tadi.

SEREMBAN: Rafizi Ramli mengakui beliau mengarahkan Dr Streram Sinnasamy merempuh halangan polis selepas calon Pakatan Harapan (PH) itu dihalang masuk ke pusat penamaan calon semasa pilihan raya umum ke-14.

Naib Presiden PKR itu berkata Streram menghubunginya pada pagi 28 April tahun lepas untuk memberitahunya bahawa beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Beliau berkata Streram mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memberikannya pas calon.

Rafizi yang juga bekas ahli Parlimen Pandan, berkata beliau memberitahu Streram untuk mencuba sekali lagi, selepas mendapat panggilan setengah jam kemudian memberitahu beliau masih dihalang masuk.

“Jadi saya memberitahu dia, ‘Saya tahu anda seorang doktor, tetapi hari ini anda mesti lawan. Anda mesti rempuh polis. Anda mesti melakukan apa sahaja untuk masuk,” katanya dalam ucapan pertamanya di ceramah sejak pilihan raya umum tahun lalu.

“Jadi sebab itulah dia meluru ke arah polis (sekatan), dan dia ditangkap dan digari. Itu adalah kali pertama dia digari,” katanya kepada lebih 500 hadirin di Rantau.

Calon PH Rantau, S Streram merempuh sekatan polis selepas dihalang masuk ke pusat penamaan calon pada PRU14.

Rafizi berkata video dan gambar penahanan Streram menunjukkan betapa zalimnya pentadbiran Barisan Nasional, dan ia bersedia menggunakan polis untuk menghalang calon daripada bertanding.

“Dan ia membangkitkan rakyat Malaysia.”

Keputusan SPR menghalang Streram masuk ke pusat pencalonan menyaksikan calon BN, Mohamad Hasan memenangi kerusi DUN berkenaan pada PRU14.

Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad tidak sah dan terbatal selepas Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK diadakan semula.

Streram akan berdepan Mohamad sekali lagi, serta calon bebas Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin pada PRK Sabtu ini.