Rafizi tidak salah arah saya rempuh sekatan polis, kata Streram

Dr S Streram.

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr S Streram hari ini mempertahankan arahan Rafizi Ramli supaya beliau merempuh sekatan polis pada hari penamaan calon pilihan raya umum tahun lepas, selepas Umno mendesak polis menyiasat naib presiden PKR itu berkaitan pengakuannya.

Streram berkata, merempuh sekatan polis adalah “tugas” beliau dan mendakwa perbuatan itu “wajar” memandangkan beliau memiliki kertas penamaan calon tetapi tidak dibenarkan masuk.

Streram, seorang pakar bius berkata, pada hari tersebut beliau juga diiringi oleh penyokong dan pencadang.

“Jadi saya tidak nampak Rafizi melakukan apa-apa kesalahan dengan berkata demikian,” katanya kepada pemberita semasa berkempen di Kampung Kuala Sawah, di sini hari ini.

Awal hari ini, pemangku presiden Umno Mohamad Hasan, yang bertanding mempertahankan kerusi DUN Rantau Sabtu ini, menggesa polis menyiasat dakwaan Rafizi bahawa beliau mengarahkan Streram merempuh sekatan polis pada 28 April tahun lalu.

Mohamad berkata, perkara itu perlu disiasat bagi membersihkan imej polis yang tercemar berikutan kejadian tersebut.

Calon PH Dr S Streram (3 dari kiri) memerhatikan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengacau dodol ketika berkempen di Rantau hari ini.

Bagaimanapun, Streram mendakwa polis sudah pun menyiasat perkara tersebut, malah Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun turut memberi keterangan ketika kes itu dibawa ke Mahkamah Pilihanraya.

“Apa perlunya polis siasat lagi,” katanya.

Ketika ditanya reaksi awalnya apabila Rafizi mengarahkan beliau merempuh sekatan polis, Streram berkata, beliau memang bersedia melakukannya.

“Saya tiada pilihan. Ia bukan soal siapa arah saya supaya melakukannya,” kata beliau.

Dalam ceramah semalam, Rafizi mengaku beliau mengarahkan Streram merempuh sekatan polis selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang Streram masuk ke pusat penamaan calon menyebabkan Mohamad, selaku calon BN, diisytiharkan menang kerusi DUN Rantau tanpa tanding dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.