Siasat pengakuan Rafizi arah calon PH rempuh polis, kata Tok Mat

Mohamad berkata, jika pengakuan Rafizi benar, jelas beliau mahu ‘menunjukkan’ proses pilihan raya tidak elok dan telus.

SEREMBAN: Mohamad Hasan meminta pihak berkuasa menyiasat pengakuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa beliau meminta calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram merempuh kawalan polis pada pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.

Mohamad, yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, jika benar perkara itu berlaku, maka jelas bahawa ketika itu Streram hanya “berdrama” tidak membawa pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jelas ketika itu Rafizi mahu menunjukkan sistem atau proses pilihan raya tidak elok dan tidak telus. Jika betul dia yang suruh rempuh, pihak berkuasa perlu buat siasatan.

“Ketika itu nama baik polis dan SPR turut tercemar seolah-olah polis yang ‘ganyang’ mereka sedangkan mereka yang sengaja merempuh,” katanya pada sidang media di bilik gerakan BN bagi PRK Rantau, di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum pada Mei 9 itu, Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa pas SPR.

Ini menyebabkan PRK Rantau kini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan Mohamad yang diisytiharkan menang tanpa bertanding oleh SPR sebelum ini, terbatal dan tidak sah.

Malam tadi, Rafizi, dalam ceramah umum PH di sini, mengakui beliau meminta Streram merempuh kawalan polis supaya dibenarkan masuk ke pusat pusat penamaan calon.

Apabila ditanya sama ada pengakuan Rafizi itu merupakan hasutan, Mohamad berkata, perkara itu perlu disiasat.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga menolak dakwaan PH bahawa kerajaan BN sebelum ini mengatur keputusan pilihan raya.

“Jika benar BN boleh mengatur pilihan raya, kita tak kalah pada pilihan raya umum lalu. Tapi kita kalah dan jelas terbukti sistem dan proses pilihan raya yang dijalankan oleh SPR adalah telus,” katanya.

PRK Rantau yang ditetapkan 13 April ini merupakan pertandingan 4 penjuru antara Mohamad dengan Streram dan 2 calon Bebas, Malar rajaram dan Mohd Nor Yassin.