Sultan tiada kuasa budi bicara mutlak lantik MB, kata peguam

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Istana Serene di Johor Bahru pada 10 Jan. Mereka berbeza pandangan mengenai peranan istana dalam pelantikan bakal menteri besar Johor. (Gambar Bernama).

PETALING JAYA: Peguam perlembagaan Syahredzan Johan berkata, Sultan Johor tidak mempunyai kuasa budi bicara mutlak dalam pelantingan menteri besar negeri tersebut, berikutan perselisihan pendapat yng tercetus berhubung peranan istana.

Katanya, mengikut Artikel 4 perlembagaan negeri, sebagai raja berperlembagaan, sultan boleh melantik menteri besar yang pada pandangannya mendapat keyakinan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sultan boleh lantik, tetapi tidak ada kuasa budi bicara mutlak.

“Sultan mempunyai kuasa budi bicara dalam erti kata tidak perlu bertindak mengikut nasihat dalam melantik menteri besar, tetapi budi bicara itu bukan tidak terbatas atau mutlak,” beliau memberitahu FMT.

Syahredzan merujuk kepada kenyataan terbaru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa istana tidak mempunyai peranan dalam pelantikan menteri besar.

Dr Mahathir berkata, apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk, Perlembagaan (persekutuan) menetapkan bahawa ia akan mengikuti sistem raja berperlembagaan.

“Sultan tiada kuasa mutlak. Jika ia masih menyebut begitu dalam Perlembagaan Johor, maka ia terbatal. Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan di negara ini,” Dr Mahathir memberitahu pemberita di lobi Parlimen semalam.

Jawatan menteri besar Johor kosong berikutan peletakan jawatan Osman Sapian Isnin lalu.

Dr Mahathir berkata, parti yang menang pilihan raya akan “menentukan siapakah yang akan memimpin”.

Beliau memberi respons terhadap kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di media sosial bahawa pelantikan menteri besar baru adalah budi bicara sultan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam responsnya menggesa “pihak tertentu” supaya tidak mencampuri urusan negeri itu kerana ia negeri berdaulat dan masih mempunyai sultan.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di luar negara.

Peguam New Sin Yew berkata, Pakatan Harapan (PH), yang terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan Amanah mempunyai majoriti di DUN Johor dengan 39 daripada 56 kerusi.

“Siapa sahaja yang dipilih oleh PH sebagai menteri besar mendapat kepercayaan majoriti,” katanya dalam catatan di Facebook.

Berdasarkan keadaan itu dan tertakluk kepada keputusan PH memilih seorang calon Melayu Islam, maka Sultan Johor mesti melantik individu yang dipilih oleh pakatan politik itu.

Katanya, Perlembagaan tidak mensyaratkan satu senarai nama dikemukakan kepada sultan untuk dipilih.

“PH berhak menentukan pilihan menteri besar mereka,” katanya.

Peguam R Kengadharan berkata, mengikut Perlembagaan, 39 ahli DUN itulah yang sepatutnya memutuskan siapakah menteri besar berikutnya.

“Mereka patut berbincang dan memutuskan satu nama, sekali gus menunjukkan bahawa calon itu mendapat kepercayaan mereka,” katanya.

Katanya, sebarang pelantikan mesti mencerminkan kehendak rakyat memandangkan pilihan raya telah diadakan.

Katanya, definisi luas perkataan “pelantikan” itu akan membuka jalan kepada ketua negeri terlibat dalam politik.

“Seorang ketua negeri hanya perlu mengesahkan calon tersebut untuk mengetuai pentadbiran negeri apabila satu parti atau satu gabungan parti mempunyai majoriti yang jelas dalam dewan perundangan,” katanya.