Timbalan speaker nafi Kertas Putih Felda dimuat naik sehari sebelum dibentang

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menafikan dakwaan Kertas Putih Felda dimuat naik di laman awam sehari sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, perkara itu disahkan kakitangan Parlimen dan kertas putih itu hanya dimuat naik selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali membentangnya di Dewan Rakyat, semalam.

“Kertas Putih Felda dimuat naik pada tengah hari semalam, maka ia tidak melanggar mana-mana peraturan.

“Oleh itu dakwaan pihak pembangkang bahawa kakitangan Parlimen memuatkan dan melanggar peraturan embargo adalah tidak benar sama sekali dan tak berasas,” katanya di Lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum itu, seorang pengguna Twitter berkata, Kertas Putih Felda dimuat naik di bahagian “risalat” laman web Parlimen sehari sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Azmin mahu tindakan keras diambil terhadap bekas perdana menteri Najib Razak kerana memaparkan sebahagian dokumen tersebut di laman Facebooknya semalam, walaupun ia diembargo sehingga pukul 11.30 pagi, semalam

Mengulas lanjut, Nga berkata, pihak Parlimen hanya meletakkan agenda mesyuarat mengenai pembentangan Kertas Putih Felda dan tidak ada isi kandungan yang dimuat naik sebelum pembentangannya oleh Azmin.

“Agenda mesyuarat mesti dimaklumakan supaya apa yang akan berlaku pada sidang Parlimen (boleh disemak),” katanya.

Dalam pada itu, Nga berkata usul supaya Najib dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu itu adalah bagi memberi peluang kepadanya untuk memberi penjelasan.

“Kita tak kata sama ada Pekan salah atau tidak. Kita akan bagi dan dibenarkan peluang kepada beliau, termasuk membawa bagi membantu beliau beri penjelasan,” katanya merujuk kepada Najib sebagai ahli Parlimen Pekan.