Tok Mat cadang ubah logo keris Umno, elak ahli bertikam lidah

Mohamad Hasan mencadangkan logo Umno diubah agar senjata Melayu itu dilengkapi dengan sarung.

SEREMBAN: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mencadangkan lambang keris pada logo parti itu diubah agar senjata Melayu itu dilengkapi dengan sarung.

Dalam nada berkias, Mohamad berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi bagi mengelakkan perbalahan sesama ahli.

“Jadi tidak timbul lagi soal masih lagi nak bertikam antara satu sama lain. Saya ingat nanti saya nak bawa cadangan ini ke Majlis Tertinggi.

“Lambang Umno keris itu mesti kena sarung. Sebab keris tak bersarung ini nak berentap dan bertikam sahaja antara satu sama lain. Bila dah duduk dalam sarung, keris itu duduk diam-diam,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

Semalam, Mohamad menegaskan supaya pemimpin berhenti daripada membuat spekulasi yang tidak sihat sehingga memberi kesan kepada parti.

Ia susulan spekulasi mengatakan beliau akan menjadi perdana menteri seperti yang didakwa beberapa pemimpin BN sebelum ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerusi pentas ceramahnya malam tadi mengingatkan ahli dan penyokong parti itu tidak mengamalkan “politik sate” iaitu budaya cucuk-mencucuk pemimpin, kerana ia boleh memecahbelahkan parti.

Nafi wujud tikam lidah dalam Umno

Mohamad menafikan berlakunya “tikam-menikam” antara beliau dan Zahid kerana semua tindakannya dimaklumkan kepada presiden Umno itu sepanjang memangku jawatan tersebut.

Susulan itu, beliau meminta supaya semua pihak menghentikan segala spekulasi dan memberi tumpuan kepada agenda utama untuk memgukuhkan parti dan membuat persiapan bagi menghadapi PRU15.

Kuasa autonomi Umno di Sabah

Mengulas mengenai prestasi sepanjang menjalankan tugas presiden, Mohamad berkata beliau juga sedang memberi tumpuan untuk menurunkan kuasa autonomi khususnya di Sabah.

“Sabah dalam jangka masa panjang tidak sesuai untuk Umno diurus daripada ibu pejabat. Situasi di Sabah, mereka tidak suka parti daripada Semenanjung.

“Mereka lebih suka dari Sabah dan Sarawak. Kita akan buat sebagaimana yang dibuat di Sarawak. Di sana tidak ada Umno tapi kita ada parti yang bersekutu dengan kita,” katanya.

Beliau juga mengucap “selamat maju jaya” kepada PPBM yang melebarkan sayapnya di Sabah baru-baru ini.

“(Tetapi) Saya tidak rasa Sabah dan Sarawak akan terima PPBM di Sabah dan Sarawak. Itu bukan masalah saya.

“Saya cuba nak bagi kenyataan saja. Bukan nak menghina tapi itulah hakikat,” katanya.