Tok Mat: Peluang menang 50-50, dakwaan BN menang besar strategi PH

Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohamad Hasan menyifatkan dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa beliau akan menang besar adalah strategi “reverse psychology” parti kerajaan itu.

Katanya, persepsi beliau akan menang itu sengaja diada-adakan supaya kira-kira 4,000 pengundi luar tidak pulang menunaikan tanggungjawab mereka Sabtu ini.

“Ada cakap-cakap bahawa BN akan menang besar. Saya yakin ini adalah ‘reverse psychology’ yang dibuat pihak sebelah (PH) untuk memberikan gambaran supaya orang luar atau pengundi luar BN tidak perlu balik mengundi.

“Itu cara mereka untuk jejaskan peluang saya supaya orang tidak balik dan tidak undi saya. Saya harap kita jangan termakan dengan kempen yang mengatakan BN akan menang selesa,” katanya ketika ditemui media di Rantau hari ini.

Mohamad berkata walaupun tempoh berkempen hanya berbaki 2 hari, peluangnya untuk mengekalkan kemenangan di kerusi yang dimenanginya sejak 2004 itu masih 50-50.

Justeru, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berharap semua pengundi di DUN Rantau akan keluar mengundi Sabtu ini.

“Saya harap pengundi (yang tinggal jauh) supaya balik (mengundi). Bagi peluang kepada saya (menang),” katanya.

Mohamad berdepan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu bekas penyampai radio, Malar Rajaram dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN Rantau dengan 55% daripada mereka pengundi Melayu, 26% India dan 19% Cina.

Hari mengundi ditetapkan pada 13 April ini.