Zahid ingatkan Umno jauhi ‘politik sate’

Zahid Hamidi ketika berucap pada program Ramah Mesra Bersama Zahid di Taman Angsamas, Rantau malam tadi.

SEREMBAN: Presiden Umno mengingatkan ahli dan penyokong parti itu tidak mengamalkan “politik sate” iaitu budaya cucuk-mencucuk pemimpin, kerana ia boleh memecahbelahkan parti.

Zahid Hamidi berkata budaya negatif itu dilakukan orang dalam parti yang kemudiannya diambil kesempatan oleh pihak luar.

“Sate kalau ada tukang kipas dia kipas kejap kiri, kejap kanan, kejap depan, kejap belakang. Tukang kipas sate ini bahaya. Ada dalam parti, ada di luar parti.

“Saya tidak cemburu dengan Tok Mat (Mohamad Hasan), dia tidak cemburu saya, tapi saya kena ingat saya ada tukang cucuk, Tok Mat lagi ramai tukang cucuk, hati-hati dengan tukang cucuk ni,” katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra Bersama Zahid di Taman Angsamas, Rantau malam tadi.

Zahid turut memuji kejayaan Mohamad mengemudi Umno dan Barisan Nasional sepanjang tempoh beliau bercuti.

“Tok Mat kawan saya, apabila saya memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan tugas presiden Umno, beliau jalankan tugas yang paling baik setakat ini. Ketiadaan saya selama lebih 100 hari ini memang Tok Mat boleh dipercayai untuk jalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah kali ke-3 beliau turun ke Rantau untuk menyokong Mohamad iaitu sebelum pilihan raya kecil (PRK), semasa penamaan calon dan malam tadi.

PH takut kerjasama BN-PAS

Zahid berkata, Pakatan Harapan cukup takut dengan kerjasama BN dan PAS.

Beliau bagaimanapun berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan kerjasama itu kerana ia sama sekali tidak menafikan hak kaum lain.

“Mereka cukup khuatir Umno, PAS dan BN kerjasama. Presiden MIC datang pejabat PAS, ada Hadi Awang suruh (MIC) sunat? Tidak ada.

“Atuk (Dr Mahathir Mohamad) minta kita bergaduh dengan PAS tak habis-habis, apabila kita ‘cium mulut’ dengan PAS. dia khuatir. Cukuplah 60 tahun kita gaduh.

“Jangan bimbang Islam tidak tolak agama lain. Berapa lama PAS perintah Kelantan, berapa ramai orang Hindu kena bunuh, orang Cina kena bunuh, berapa banyak kuil kena pecah, tidak ada 1 pun, lihat patung Buddha terbesar di Malaysia ada di Kelantan,” katanya.