Ahli perniagaan terkenal dan isteri didakwa perdagang 3 pembantu rumah

K Ketheeswaran dan isteri beliau, Viviennedi Mahkamah Sesyen Klang hri ini.

KLANG: Pasangan suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 3 pertuduhan memperdagangkan 3 pembantu rumah warga Indonesia antara 2012 dan bulan lepas.

Ahli perniagaan, K Ketheeswaran, 58, dan isterinya Vivienne Ketheeswaran, 63, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di depan hakim Roszianayati Ahmad.

Ketheeswaran, bekas presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan isterinya didakwa bersama-sama memperdagangkan wanita berumur 25, 29, dan 41 tahun itu bagi maksud eksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di Kajang, antara Oktober 2012 dan 21 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan, selain pasport mereka diserah kepada mahkamah.

Peguam Shashi Devan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, anak guamnya bersedia membayar jumlah jaminan yang dicadangkan serta bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Roszianayati kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang bagi kesemua pertuduhan, selain memerintahkan mereka menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan penetapan tarikh perbicaraan.

Media sebelum ini melaporkan 3 pembantu rumah warga asing melarikan diri dari sebuah banglo di Kajang untuk mendapatkan pertolongan di kedutaan Indonesia selepas mendakwa ditampar dan ditumbuk majikan mereka.