Aktivis veteran harap Felda manfaatkan bantuan RM6 bilion

Keseluruhan liabiliti Felda bertambah daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017, menurut kertas putih yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

PETALING JAYA: Aktivis veteran Felda Mazlan Aliman berkata, kerajaan dan agensi pembangunan tanah itu mesti telus dalam penggunaan wang sebanyak RM6 bilion yang diterimanya baru-baru ini.

Mazlan, yang kini mengetuai Majlis Perundingan NGO Felda berkata, agenda pribadi dan campur tangan politik tidak seharusnya ada dalam Felda.

Beliau mengingatkan, tindak-tanduk kerajaan sebelum ini telah membantutkan pertumbuhannya.

“Kita harap semua kesilapan dan tragedi masa lalu tidak akan berulang.

“Pakatan Harapan (PH) perlu telus dan berusaha menjadikan Felda satu kejayaan,” beliau memberitahu FMT.

Putrajaya baru-baru ini mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion bagi menolong Felda menangani masalah kerugian dan hutang yang terkumpul dalam tempoh 10 tahun lepas.

Mazlan Aliman

Keseluruhan liabiliti Felda bertambah daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017, menurut kertas putih yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini. Ia menyebut isu pengurusan yang lemah dan perkara lain berkaitan integriti.

Mazlan, seorang pemberi maklumat terkenal mengenai isu Felda yang pernah menjadi pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyalahgunaan wang melalui pelbagai projek dikaitkan dengan Felda.

Beliau berkata, perancangan teratur juga diperlukan untuk kerajaan memulihkan agensi tersebut.

Katanya, Felda tidak mempunyai rancangan teratur untuk memaksimumkan hasil pengeluaran dan ini mengakibatkan kerugian kepada pemilik ladang kelapa sawit dan getah apabila harga komoditi itu merosot.

“Kita perlu model baru untuk mencapai hasil lebih tinggi supaya peneroka boleh mendapat sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan berbanding hanya RM1,500 pada masa ini.

“Sekiranya kerajaan gagal dalam percubaannya untuk memodelkan kembali Felda, semua RM6 bilion bantuan akan dibelanjakan untuk membayar hutang,” katanya.

Mazlan mahu kerajaan turut memberi perhatian kepada kebajikan peneroka, termasuk keperluan perumahan mereka.

Menurutnya, 9,000 kediaman diperlukan untuk peneroka generasi kedua, sementara projek perumahan yang terbengkalai perlu dipulhkan.