Bank Rakyat umum dividen 13% bagi 2018, turun 3%

Redzuan Md Yusof (tengah, kot kelabu) menghadiri majlis pengumuman dividen Bank Rakyat di ibu negara, hari ini.

CYBERJAYA: Bank Rakyat mengumumkan pengagihan dividen 13% yang membabitkan pembayaran RM379 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berbanding 16% yang diagihkan pada 2017.

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata, pembayaran dividen masih tinggi walaupun trend pembayaran rendah dalam industri itu secara keseluruhannya.

“Pembayaran dividen kepada anggota akan mula dibuat pada 15 April 2019,” katanya dalam majlis pengumuman dividen Bank Rakyat di sini, hari ini.

Bank Rakyat ialah salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

Redzuan berkata, Bank Rakyat akan mengumumkan prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 tidak lama lagi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua anggota dan pihak berkepentingan atas sokongan sepanjang tahun lalu.

“Saya gembira dengan perkembangan ini, meskipun dengan keadaan ekonomi, masalah, cabaran serta peralihan tanggungjawab pengurusan Bank Rakyat.

“Pada saya, dividen yang diumumkan hari ini adalah baik dan perlu dihargai. Apa-apa di atas 10% boleh dianggap sudah cukup baik.”