Bekas pengarah-pengarah Genneva kekal dipenjara kerana pengubahan wang haram

Dua daripada 4 pengarah Genneva Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 12 Februari tahun lepas. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kes 4 bekas pengarah syarikat pelaburan emas yang dihukum penjara atas 154 tuduhan pengubahan wang haram dan 4 tuduhan mengambil deposit secara haram melibatkan lebih RM100 juta berakhir hari ini.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan kaji semula untuk mengetepikan pensabitan dan hukuman yang dikenakan tahun lepas.

Hakim Yew Jen Kie berkata, semua isu yang mana bekas pengarah-pengarah Genneva Sdn Bhd disabitkan telah diteliti panel rayuan.

“Pembacaan teliti alasan-alasan untuk mengkaji semula pensabitan dan hukuman menunjukkan pemohon-pemohon menggunakan permohonan kaji semula untuk membuka semula dan memeriksa semula keputusan muktamad rayuan berkenaan,” katanya dalam keputusan sebulat suara.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk kaji semula keputusannya dalam kes di mana tiada lagi jalan keluar kepada sesuatu pihak.

Dalam kes ini, katanya, pemohon-pemohon tidak menunjukkan keadaan yang mewajarkan pensabitan dan hukuman dikaji semula.

Lain-lain hakim dalam panel itu ialah Yaacob Md Sam dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 12 Disember 2017, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ng Poh Weng, 68; Marcus Yee Yuen Seng, 66; Chin Wai Leong, 42; dan Liew Chee Wah, 64; dan mendapati mereka bersalah.

Pada 21 Februari tahun lalu, 3 panel hakim, iaitu Mohtarudin Baki, Zakaria Sam dan Abdul Karim Abdul Jalil menjatuhkan hukuman 3 tahun penjara dan mengenakan denda RM1 juta ke atas setiap mereka atas kesalahan pengubahan wang.

Mahkamah juga mengenakan hukuman 5 tahun penjara dan denda RM1 juta lagi ke atas mereka kerana mengambil deposit secara haram.

Ia mengarahkan hukuman berjalan secara berturutan, bermakna mereka akan menjalani 8 tahun penjara.

Mohtarudin juga menyabitkan Genneva atas 5 tuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen dan mengenakan denda RM2 juta.

Mahkamah memutuskan penjelasan oleh 4 orang itu bahawa kegiatan perdagangan emas itu bukan mengambil deposit seperti yang ditakrifkan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan tidak meyakinkan.

Pada 16 Mei 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan 4 orang itu selepas mendapati pihak pembela menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Ini dikekalkan Mahkamah Tinggi 3 tahun kemudian.

Empat bekas pengarah itu dituduh melakukan kesalahan pengubahan wang haram di Menara Public Bank, Kuala Lumpur, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Mereka juga dituduh menerima deposit awam secara haram di premis syarikat tersebut di Jalan Kuchai Maju 6 di Kuala Lumpur, antara November 2008 dan Julai 2009.