ECRL bukan gula-gula PRK Rantau, kata Azizah

Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat orang kelainan upaya yang kehilangan kaki dan tangan akibat kemalangan jalan raya, Mohd Ridhwan Mohd di Kampung Bemban, Seremban, hari ini. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan Putrajaya meneruskan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bukan “gula-gula” untuk pilihan raya kecil Rantau.

Timbalan perdana menteri berkata, semakan semula projek itu, termasuk mengubah jajaran untuk memberi manfaat kepada Negeri Sembilan, dibuat sejak sekian lama.

“Semakan semula dibuat supaya ia lebih sesuai dan lebih beri kesan…ECRL menjurus kepada merangsang pembangunan ekonomi dan bukan gula-gula.

“Bukan gula-gula sebab PRK, tetapi untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya selepas menemui warga emas, Miri Abdul Manan, 95, antara pengundi tertua pada PRK Rantau di sini, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company (CCCC).

Kos pembinaan fasa 1 dan 2 itu dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Wakil khas perdana menteri, Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dengan China itu dilaporkan berkata, pembinaan ECRL akan menyaksikan jajaran baru Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Projek ECRL itu dimulakan kerajaan Barisan Nasional dan digantung kerajaan Pakatan Harapan pada Julai 2018 disebabkan kos pembinaan terlalu tinggi.

Sementara itu, Wan Azizah dalam ucapan ringkasnya pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Pasir Linsum, berkata tidak mustahil PH memenangi kerusi Rantau, esok.

“Jangan lupa saya pun tak sangka saya jadi timbalan perdana menteri. Jadi, boleh kita menang (PRK) insya Allah, jadi kita kena kerja kuatlah.”

Beliau menyeru pengundi di Rantau menyokong dan memberi kepercayaan kepada calon PH, Dr S Streram.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Streram, calon BN, Mohamad Hasan dan 2 calon bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.