ECRL disambung semula pada kos RM44 bilion

Projek ECRL sepanjang 688km digantung pada Julai 2018 disebabkan kos pembinaan terlalu tinggi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang digantung sejak Julai 2018, disambung semula dengan kos pembinaan fasa 1 dan 2 dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion.

Katanya, kos asal RM65.5 bilion dikurangkan kepada RM44 bilion susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company (CCCC).

Katanya, perjanjian tambahan itu yang meliputi aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC), dicapai selepas rundingan antara syarikat terbabit dan kerajaan Malaysia serta China selama beberapa bulan.

“Pengurangan ini tentu memanfaatkan Malaysia dan meringankan beban kedudukan kewangan negara.

“Butiran lanjut perjanjian ditambah baik itu akan diberikan pada sidang media Isnin depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sumber yang berkait rapat dengan projek ECRL memberitahu FMT, sepasukan pegawai peringkat tinggi kini berada di Beijing untuk memuktamadkan rundingan bagi mengurangkan kos projek itu.

Selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan menggantung projek sepanjang 688km itu disebabkan kosnya terlalu tinggi.

Projek ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Kota Bharu, Kelantan dilancarkan pada Ogos 2017 dan dijadualkan siap pada 2024.

Pada 3 Mac lalu, Mahathir dilaporkan berkata, Putrajaya membayar RM200 juta, iaitu faedah bagi hutang berjumlah RM55 bilion kepada CCCC selaku kontraktor utama ECRL.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini membayangkan rundingan ECRL berjalan lancar dan jajaran mungkin diubah untuk memanfaatkan Negeri Sembilan.

Katanya, projek itu akan diteruskan jika kos pembinaan boleh dikurangkan daripada RM66 bilion kepada RM35 bilion.