Ecuador batal kerakyatan pengasas WikiLeaks kerana penyelewengan

Julian Assange sedang diburu pihak berkuasa Sweden atas dakwaan salah laku seksual dan mendakwa beliau dianiaya secara politik atas peranannya mendedahkan jenayah perang AS. (Gambar AFP)

QUITO: Ecuador pada Khamis mengumumkan ia sudah membatalkan status kewarganegaraan yang diberikan kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange, pada Disember 2017 atas alasan terdapat “penyelewengan” dalam proses naturalisasi, lapor agensi berita China Xinhua.

“Terdapat penyelewengan yang tidak terkira banyaknya dalam konsesi kewarganegaraan itu.

“Atas alasan itu, kementerian memutuskan untuk membatalkannya secara formal,” kata Menteri Hal Ehwal Luar, Jose Valencia.

Assange ditahan polis Britain di London pada Khamis, selepas Presiden Ecuador, Lenin Moreno melucutkan suaka politik yang diberikan kepadanya di bawah kerajaan sebelumnya pada 2012.

Assange yang ketika itu diburu pihak berkuasa Sweden atas dakwaan salah laku seksual, mendakwa beliau dianiaya secara politik kerana peranannya dalam mendedahkan jenayah perang Amerika Syarikat.

Kementerian Luar Ecuador berkata, ia membatalkan status suaka Assange selepas mendapat “jaminan” dari Britain yang aktivis itu tidak berdepan risiko membahayakan nyawanya.

Jabatan Kehakiman AS pada Khamis berkata, ia sudah memohon untuk mengekstradisi Assange bagi menghadapi pertuduhan jenayah melakukan konspirasi untuk menggodam sebuah komputer yang mengandungi maklumat sulit kerajaan AS.