Esok hari mengundi PRK Rantau

515 petugas SPR akan mengendalikan proses pengundian PRK Rantau.

SEREMBAN: Pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok selepas 14 hari tempoh berkempen.

Empat calon bertanding pada PRK itu terdiri daripada calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram; calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan dan 2 calon Bebas, iaitu suri rumah R Malarvizhi serta bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang.

Seramai 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi dan daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang mengundi secara pos.

Dr Streram dijangka mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau; Mohamad yang juga timbalan presiden Umno dan Malarvizhi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua manakala Mohd Nor tidak mengundi memandangkan beliau merupakan pengundi di DUN Gemencheh, Tampin.

Seramai 515 orang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas bagi proses pengundian esok.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 4 orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51% atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46% atau 3,863), India (26% atau 5,441) dan lain-lain (0.03% atau tujuh orang).

PRK DUN Rantau adalah PRK ke-7 diadakan selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, dengan PRK pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama 3 penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 terbatal dan tidak sah.