Hina Agong: Muhyiddin arah ketua polis negara siasat segera

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri mengecam keras paparan di Facebook (FB) yang dimuat naik oleh kumpulan menggelar diri mereka “Sabah-Sarawak Merdeka” berhubung gambar yang didakwa menghina Agong di laman sosial tersebut.

Menteri Muhyiddin Yassin, berkata selain menghina raja, tindakan mengubah gambar Agong melanggar undang-undang negara.

“Saya telah arahkan ketua polis negara supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan,” katanya di Facebook hari ini.

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat.

Beliau juga menyifatkan ia perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat serta bercanggah dengan prinsip Rukun Negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dilaporkan sedang menyiasat bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab susulan imej yang menghina itu dimuat naik di laman FB, semalam.