Jaga adab, UUM beritahu pelajar sebelum program Zakir Naik

PETALING JAYA: Universiti Utara Malaysia mengingatkan pelajar agar sentiasa beradab dan berfikiran terbuka dalam menangani perbezaan pendapat, selepas program melibatkan penceramah kontroversi, Zakir Naik menarik perhatian media.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Hendrik Lamsali berkata UUM mengambil berat isu kesentosaan dan kesejahteraan universiti, dan memastikan program yang boleh menimbulkan sensitiviti tidak dilakukan.

Beliau mengulas mengenai diskusi ilmiah “Duty Of A Muslim As A Profesional: Dr Zakir Naik” anjuran pelajar bawah Kelab Perkim, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM yang dijadualkan pada 18 April ini.

“Program ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada realiti sosial dan isu semasa khususnya pelajar-pelajar UUM yang bakal menjadi pengurus dan golongan professional pada masa hadapan.

“Universiti tidak memaksa pelajar untuk menghadiri program seumpama ini, dan ianya terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naik pernah dituduh memberikan ucapan-ucapan provokasi, yang menurut kerajaan Bangladesh menjadi sebab kepada serangan yang meragut 22 nyawa di Dhaka pada 2016.

Penceramah berusia 53 tahun itu menafikan semua tuduhan terhadapnya.