Kelantan sambut baik keputusan Putrajaya teruskan ECRL

Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun ada pandangan negatif, kerajaan Kelantan tetap menyokong ECRL kerana kebaikan untuk rakyat lebih banyak. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengalu-alukan sebarang projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat, terutama projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Timbalan Menteri Besarnya, Mohd Amar Nik Abdullah.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyokong projek itu walaupun kerajaan persekutuan kini dipimpin Pakatan Harapan.

“Macam dulu pun (ketika kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional) kita menyokong penuh ECRL ini, walaupun ada pandangan-pandangan negatif, tapi kita rasa kebaikan lebih banyak.

“Jadi, kalau kerajaan sekarang ini bersetuju untuk meneruskan (projek ECRL), itu satu langkah yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah, susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company.

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan fasa 1 dan 2 kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Sementara itu, Amar berharap 5 projek mega yang dikemukakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dalam lawatannya ke Kelantan bulan lalu, tetap diteruskan.

“Insya Allah kalau berjalan 5 projek ini (selain projek ECRL), akan ada banyak perubahan yang akan berlaku terhadap sosio ekonomi Kelantan.”

Lima projek yang diumumkan Azmin ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Timur fasa 3, pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baru Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.