Kerajaan lanjut perjanjian operasi lapangan terbang MAHB hingga tahun 2069

Kementerian Pengangkutan percaya OA MAHB dengan tempoh lebih panjang akan menarik pelaburan swasta dalam indusri pelancongan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju meluluskan permohonan Malaysia Airports Berhad (MAHB) untuk melanjutkan perjanjian operasi (OA) bagi mengoperasi dan mengurus 39 lapangan terbang di bawah pengendaliannya sehingga tahun 2069.

Kabinet pada 5 April lepas juga bersetuju OA sedia ada iaitu “OA for KL International Airports” dan “OA for Designated Airports yang ditandatangani pada 12 Februari 2009 dibatalkan dan digantikan dengan 4 OA baru, menurut satu kenyataan Kementerian Pengangkutan hari ini.

“Kesemua OA baru ini, iaitu “OA for KLIA”, “OA for Designated Airports in Peninsular Malaysia”, “OA for Sabah Airports” dan “OA for Sarawak Airports” akan dimuktamadkan dan ditandatangani di antara kerajaan dengan MAHB berdasarkan prinsip yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sejajar dengan itu kerajaan juga akan menandatangani perjanjian pajakan baru yang bersifat co-terminus dengan OA tersebut.

Kementerian Pengangkutan berkata, pelanjutan tempoh OA itu adalah bagi membolehkan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial yang lebih berdaya maju dan mampan.

Ia juga bertujuan meningkatkan pendapatan kerajaan melalui mekanisme perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan oleh MAHB.

“Selain itu, kerajaan akan menerima cukai lebih tinggi dan menyediakan pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat,” katanya.

Kementerian juga percaya OA baru akan memberikan fleksibiliti kepada kerajaan dan MAHB dalam menyediakan peruntukan projek pembangunan lapangan terbang melalui model pembiayaan seperti Regulated Asset Base (RAB), Airport REIT, Airport Development Fund (ADF) atau mekanisme lain.

Ia berkata, pembiayaan melalui model kewangan yang berbeza boleh menarik pelabur ke pasaran kewangan tempatan dengan syarat ia tertakluk kepada persetujuan kerajaan.

“Kerangka OA baru dengan tempoh lebih panjang dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan swasta dalam aktiviti pembangunan lapangan terbang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui industri pelancongan dan pelaburan asing,” katanya.