Kita akan belanja besar untuk tarik pelancong, kata MAHB

MAHB melancarkan kempen besar-besaran bagi menarik kemasukan pelancong ke Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Syarikat lapangan terbang utama Malaysia mengulangi komitmennya untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini, memandangkan bilangannya semakin berkurang.

Dalam temu ramah dengan FMT, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, mereka memperuntukkan berjuta ringgit tahun ini sahaja untuk meningkatkan usaha agensi persekutuan dan negeri bagi mempromosikan pelbagai destinasi di negara ini.

“Ini tidak termasuk inisiatif seperti menarik lebih banyak penerbangan ke Malaysia dan penambahan kemudahan dan perkhidmatan di lapangan-lapangan terbang kita,” katanya.

Pada 2018, MAHB menerima 13 syarikat penerbangan baru, dan untuk 2019, dalam keadaan iklim ekonomi dunia yang bertambah lemah, ia berhasrat menarik 10 lag syarikat penerbangan ke negara ini.

Beliau mengulas mengenai penurunan 0.4% ketibaan pelancong pada 2018 seperti yang didedahkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

CEO Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin.

Raja Azmi berkata, MAHB bimbang dengan penurunan ketibaan pelancongan kerana syarikat penerbangan akan melihatnya sebagai kekurangan permintaan terhadap Malaysia sebagai destinasi.

“Permintaan sebagai destinasi adalah apa yang menentukan sama ada syarikat penerbangan memutuskan untuk datang atau tidak.

“Itulah sebab penting Malaysia terus menarik pelancong dan walaupun ini melibatkan pelbagai pihak dan sesuatu yang kita tidak boleh kawal dengan sendirinya, kita rasa penting melakukan sesuatu,” katanya.

Katanya, inilah sebab kenapa MAHB tidak rasa puas hati dan bercadang menjadi syarikat lapangan terbang sahaja.

Untuk mengikuti trend perjalanan, tuntutan pelancong dan persaingan yang semakin meningkat, Raja Azmi berkata, MAHB mengambil pendekatan “hands-on” dalam usaha menarik ketibaan pelancong.

Satu daripada inisiatif, jelasnya, ialah dana promosi RM5 juta untuk MAHB Langkawi dilancarkan baru-baru ini menggalakkan profil pulau itu sebagai destinasi pelancong.

Katanya, wang itu akan dibelanjakan untuk pengusaha industri pelancongan seperti syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan, wakil perjalanan dan syarikat pemasaran.

MAHB, katanya, juga bekerjasama dengan Tourism Malaysia berkaitan dengan dana
promosi yang dikenali sebagai Program Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Bersama.

Program itu menyaksikan MAHB dan Tourism Malaysia menyumbangkan RM10 juta masing-masing kepada pengusaha industri untuk memasar dan mempromosikan Malaysia di seluruh dunia.

“Melalui kerjasama ini, kami bercadang untuk meningkatkan ketibaan pelancong daripada pasaran penumbuhan tinggi seperti China, India dan Asean dan mewujudkan laluan baru untuk Malaysia,” katanya.

Raja Azmi berkata, MAHB juga bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia bagi membekalkan platform dan sokongan kepada pengusaha tempatan bagi mempamerkan produk mereka ke seluruh dunia.