Koleksi surat cinta Napoleon dilelong RM2.35 juta

Antara surat cinta yang dipamerkan ketika lelongan diadakan. (Gambar Agensi)

3 pucuk surat cinta daripada pemimpin Perancis, Napoleon Bonaparte kepada isteri, Josephine yang ditulis antara tahun 1796 hingga 1804 dijual pada harga €513,000 (RM2.35 juta).

Menurut rumah lelongan Drouot acara lelongan bertemakan barangan sejarah itu oleh firma lelongan Perancis, Ader dan Aguttes turut menyaksikan seunit mesin penyulitan mekanikal Enigma yang pernah digunakan tentera Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua dijual pada harga €48,100 (RM220,700).

Barangan tersebut adalah sebahagian daripada jualan besar-besaran koleksi negara Perancis yang dikumpulkan oleh firma pelaburan yang muflis, Aristophil.

Firma itu ditutup selepas satu skandal empat tahun lalu, sekali gus melesapkan wang pelabur sebanyak €850 juta (RM3.9 bilion).

Terdapat sebanyak 14 acara lelongan dilakukan pada tahun lalu yang menyaksikan perolehan €26.4 juta (RM121 juta).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]