Lebih 10 rumah rosak berikutan letupan di kompleks Petronas Pengerang

Petronas dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.25 pagi dan berjaya dikawal setengah jam kemudian. (Gambar Facebook)

KOTA TINGGI: Lebih 10 rumah di Kampung Lepau, dekat Pengerang, di sini mengalami kerosakan di siling dan dinding, dipercayai kesan daripada kejadian letupan serta kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), awal pagi tadi.

Pemilik rumah Abd Rahim Sanusi, 85, yang tinggal bersama 2 anak serta 2 cucunya berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dan terjaga bila terdengar bunyi berdentum.

“Saya baru lepas bedah jantung, terperanjat. Bila terperanjat, saya urut dada saya, baru lega sikit. Bila keluar dari bilik, nampak banyak siling di rumah jatuh,” kata warga emas itu ketika ditemui di sini hari ini.

Selain daripada beberapa siling yang jatuh, kelihatan beberapa kesan retakan di rumahnya.

Seorang lagi penduduk kampung, Abdul Halim Mahmood, 52, berkata, kira-kira 1.30 pagi, dia mahu berehat sebelum terdengar satu bunyi yang kuat seperti bom meletup.

“Saya dengar bunyi kaca pecah, jadi saya meninjau di luar dan dapati pintu sliding door saya pecah selepas bunyi yang kuat itu,” katanya, yang turut mendapati beberapa retakan pada dinding rumahnya.

Ketua kampung, Zainal Abidin Abd Rahim berkata, ketika kejadian, dia berada di luar kampung dan merasa sendiri gegaran letupan berkenaan, sebelum mendapat panggilan daripada orang kampung untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

“Tidak lama lepas kejadian, saya menghubungi wakil Petronas untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Pihak Petronas minta saya buat bancian setiap rumah untuk mengenal pasti jenis kerosakan serta meminta penduduk terjejas untuk buat laporan polis,” kata beliau.

Zainal Abidin juga meminta penduduk kampung itu supaya tidak bimbang dan memaklumkan kepadanya mengenai kerosakan di rumah mereka.

Sehingga pukul 10 pagi tadi, difahamkan lebih 10 laporan polis telah dibuat.

Kampung Lepau, yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Kompleks Bersepadu Pengerang, mempunyai 67 buah rumah dan lebih 100 penduduk.

Petronas dalam satu kenyataan di sini berkata, kejadian kebakaran dan letupan yang berlaku pada pukul 1.25 pagi itu, berjaya dikawal setengah jam kemudian.

Kejadian itu turut mencederakan 2 lelaki tempatan yang merupakan pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan.