Majlis Olimpik nafi lantik wanita dikaitkan Jho Low jadi COO

Mohamad Norza Zakaria berkata, laporan mengenai pelantikan seorang wanita yang pernah bekerja dengan Jho Low dibuat berdasarkan ‘khabar angin’. (Gambar Bernama).

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini berkata, ia tidak pernah mengumumkan seorang individu yang pernah bekerja untuk ahli perniagaan dikaitkan dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho, sebagai ketua pegawai operasinya.

Ia selepas FMT semalam melaporkan Ung Su Ling yang mengetuai sebuah sayap kebajikan yang dilaporkan menyalurkan berjuta ringgit bagi kempen pilihan raya Barisan Nasional pada 2013, dilantik sebagai COO MOM.

“Saya mahu menjelaskan kami tidak pernah mengumumkan secara rasmi atau mengeluarkan kenyataan. Media membuat laporan berdasarkan khabar angin semata-mata,” kata Presiden MOM, Norza Zakaria kepada wartawan selepas mesyuarat lembaga untuk menangani publisiti yang timbul susulan laporan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden MOM, Abdul Azim Zabidi hari ini menafikan beliau mengesahkan pelantikan Ung kepada media.

“Mereka tanya soalan itu dan sekali lagi ini adalah maklumat yang mereka dapat entah daripada siapa, yang calon nombor satu ialah Ung Su Ling. Saya mengesahkan beliau ialah calon teratas.

“Saya turut menjelaskan proses beliau menjadi nombor satu, itu saja,” kata Azim.

Semalam, Azim mengesahkan pelantikan Ung kepada FMT dan mempertahankan wanita itu berpengalaman dan berkelayakan sebagai faktor beliau dipilih daripada kira-kira 60 calon bagi jawatan berkenaan.

Tetapi, Azim hari ini berkata, pelantikan Ung masih dibincangkan dan keputusan hanya akan dibuat akhir bulan ini selepas rundingan dengan pemegang berkepentingan.

Ung ialah ketua pegawai eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang dinamakan The Wall Street Journal pada 2015 atas dakwaan menggunakan berjuta ringgit untuk membantu BN pada pilihan raya umum 2013.

Tahun lalu, akhbar perniagaan mingguan, The Edge melaporkan Ung menyertai perniagaan keluarga Low, Wynton Group, dalam satu laporan khas mengenai “who’s who of Malaysians in Jho Low’s web”.

Sementara itu, MOM hari ini mendedahkan jawatan COO diwujudkan berdasarkan satu laporan yang dijalankan perunding, Zubedy (M) Sdn Bhd.

Norza berkata, jawatan itu dicadangkan lembaga terbabit 3 bulan lalu.