Menteri persoal kenapa GPS bertegas mahu 6 perkataan dalam RUU

VK Liew berkata peguam negara menasihatkan kerajaan untuk tidak memasukkan perkataan-perkataan itu kerana ia akan merumitkan keadaan.

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong membidas ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak kerana bertegas mahu 6 perkataan dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak.

Enam perkataan itu menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Liew tidak faham rasional GPS mahu perkataan-perkataan itu dimasukkan sedangkan ia tidak pernah ada dalam pindaan Perlembagaan pada 1963 susulan penubuhan Malaysia.

Awal minggu ini, Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 tewas apabila dibentangkan di Dewan Rakyat.

Seramai 138 ahli-ahli Parlimen menyokong RUU itu, 10 undi kurang daripada majoriti 2/3 yang diperlukan, dengan 59 wakil rakyat berkecuali.

Liew, yang merupakan menteri undang-undang berkata, Peguam Negara Tommy Thomas menasihatkan kerajaan untuk tidak memasukkan perkataan-perkataan itu kerana ia akan merumitkan keadaan.

Bagaimanapun, semua 19 ahli-ahli Parlimen GPS bertegas mahu 6 perkatan itu dimasukkan.

“Enam perkataan itu tidak dimasukkan oleh pengasas kita,” kata Liew pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya.

“Mengapa anda mahu masukkan ia sekarang sedangkan pengasas kita tidak melihatnya sebagai penting?

“Kita berbalik kepada susunan kata-kata yang sama seperti pada 1963; tak lebih dan tak kurang daripada itu.

“Mengapa bertegas sedang ia tidak pernah ada? Saya tak faham rasional itu.”

Liew berkata Singapura sebahagian daripada MA63 dan jika 6 perkataan itu dimasukkan, maka Perjanjian Kemerdekaan Singapura 1965 perlu dimasukkan dalam Perlembagaan.

“Jadi kenapa mereka mahu ia dimasukkan sekarang? Dari segi perlembagaan dan undang-undang ia tidak mungkin dapat dilakukan.”

Beliau berkata kerajaan sudah memasukkan ke dalam nota penjelasan, sebagai sebahagian daripada RUU itu, bahawa pindaan dibuat selaras dengan semangat MA63.

Tindakan itu sudah “memadai” kerana ia mengikat, katanya.

Beliau juga berkata sesiapa yang mahu melihat peruntunan itu boleh merujuk kepada hansard untuk menilai niat kerajaan dalam meminda RUU itu.

Beliau berkata Putrajaya perlukan majoriti 2/3 untuk meluluskan pindaan seperti itu.

Kecuali kalau wakil-wakil rakyat GPS sedia menyokong pindaan seperti itu, Liew merasakan RUU itu tidak akan dibentangkan dalam masa terdekat, kerana kerajaan PH tidak mempunyai majoriti 2/3.

4 tak hadir

Beliau juga berkata ketidakhadiran 4 wakil wakyat PH semasa pembentangkan itu dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.

Empat yang tidak hadir itu adalah (Simpang Renggam), Noor Amin Ahmad (Kangar), Shamsul Iskandar (Hang Tuah Jaya) dan Muslimin Yahya (Sungai Besar).

“Seorang atau 2 orang meminta kebenaran untuk menghadiri mesyuarat di luar negara.

“Secara prinsipnya, apabila perdana menteri mengeluarkan arahan, wakil-wakil rakyat, para menteri dan timbalan mesti hadir. Ini mestilah dihormati.”

Liew menyerahkan perkara itu kepada whip parti masing-masing untuk bertindak terhadap mereka yang tidak hadir.