Pengkritik pertahan pendirian tentang ECRL selepas diluluskan Putrajaya

Jomo Kwame Sundaram.

PETALING JAYA: Para pengkritik Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) nampaknya tidak yakin dengan projek berbilion ringgit itu walaupun kerajaan Pakatan Harapan meneruskan pembinaannya hari ini.

Antara mereka adalah penasihat ekonomi kerjaaan, Jomo Kwame Sundaram, yang lantang mengkritik projek itu ketika ia dipromosikan pentadbiran Najib Razak.

Jomo bagaimanapun mahu menunggu butiran mengenai urus janji dengan Beijing sebelum mengulas.

“Pandangan saya dahulu tidak berubah tetapi saya tidak dapat komen tentang rundingan baru ini kerana kekurangan maklumat tentang butir-butirnya,” katanya kepada FMT ketika diminta respon kepada pengumuman kerajaan yang meluluskan projek itu pada harga lebih rendah dan jajaran diubah.

Putrajaya hari ini mengumumkan pengurangan kos pembinaan sebanyak RM21.5 bilion bagi Fasa 1 dan 2 projek ECRL.

Dikatakan kos berkurangan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion dalam perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia Rail Link dan China Communications Construction Company.

Pakatan Harapan selepas membentuk kerajaan tahun lepas menggantung projek sepanjang 688km itu kerana kos tinggi.

Pengkritik projek itu persoalkan dakwaan kerajaan lepas bahawa ECRL akan memacu pertumbuhan, dan ramai mengatakan ia usaha untuk menutup isu berkaitan skandal 1MDB.

Jomo berkata projek ECRL sama dengan projek mega lain di seluruh dunia “yang terkenal dengan limpahan kos”.

“ECRL sepatutnya sangat memberi manfaat kepada negara dalam banyak cara yang tak masuk akal. Apakah akan ada trafik penumpang yang mencukupi untuk menyokong laluan kereta api berkelajuan tinggi?” kata Jomo, salah seorang daripada 5 anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang melapor terus kepada Dr Mahathir Mohamad.

“Kargo jenis apa yang perlu laluan pengangkutan berkelajuan tinggi yang mahal?” katanya dalam artikel yang disiarkan di FMT pada Ogos 2017.

Jomo pada awal tahun ini mengulangi bantahannya terhadap projek itu.

Beliau menyeru projek itu dibatalkan tetapi berkata ia boleh menyinggung hubungan dengan China dan Putrajaya perlukan masa untuk selesaikan butirannya.

Seorang lagi ahli ekonomi berkata Malaysia tidak perlukan ECRL, terutama apabila negara menanggung hutang ratusan bilion ringgit.

“Katanya hutang negara mencecah RM1 trilion jadi kenapa mahu tambah hutang RM44 bilion lagi?” kata Hoo Ke Ping.

Beliau juga persoalkan kewajaran menghubungkan Kota Bharu dan Jelebu, hentian baru dalam ECRL yang disemak semula yang diumumkan hari ini.

“Adakah produk berkaitan sawit atau minyak mentah?” katanya.

Beliau tertanya adakah pemain industri minyak di Terengganu dan Kelantan akan menggunakan keretapi laju itu untuk mengangkut kargo.

Dalam urus janji yang disemak semula yang ditandatangani hari ini, beberapa stesen ECRL dibatalkan, termasuk Gombak.

Jajaran baru juga dipendekkan sebanyak 40km, mengurangkan panjang keseluruhan daripada 688km kepada 648km.

Sementara itu, pakar pengangkutan Rosli Azad Khan berkata kerajaan mungkin tiada pilihan kecuali meneruskan projek itu.

“Pentadbiran lepas sudah membayar RM20 bilion, jadi lebih masuk akal untuk membayar lebih RM20 bilion lagi dan dapat sistem prasarana, daripada membatalkannya kerana anda tidak akan dapat balik RM20 bilion itu.”

Beliau berkata laluan lebih pendek tanpa Gombak kemungkinan alternatif paling murah berbanding laluan asal, kerana ia juga membuang cadangan membina terowong dari Bentong ke Gombak.

“Saya fikir kerajaan ambil pilihan paling murah. Mudah-mudahan, dari semasa ke semasa kita akan dapat balik kosnya.”