Perbicaraan petisyen pilihan raya Jasin disambung 7 Mei

Khairuddin Abu Hassan menamakan Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya kerusi Jasin, Zamrud Yahya sebagai responden ke-2 dan SPR responden ke-3.

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan 7 Mei ini untuk menyambung perbicaraan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin.

Peguam, Muniandy Vestanathan yang mewakili calon Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 bagi kerusi itu, Khairuddin Abu Hassan berkata, dianggarkan 17 saksi lain akan dipanggil.

“Sehingga kini, 28 saksi perbicaraan telah dipanggil memberi keterangan di depan Hakim Abu Bakar Jais,” katanya kepada Bernama di luar mahkamah hari ini.

Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Khairuddin selaku pempetisyen.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula 11 Mac hingga hari ini.

Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya sebagai responden ke-2 dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ke-3.