Polis terima 2 laporan kertas undi PRU Indonesia ditemui di Kajang

Ratusan beg plastik hitam dan putih yang didakwa mengandungi kertas undi pos Indonesia bertanda, ditemui di Bangi dan Kajang. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima 2 laporan berhubung penemuan beg plastik hitam disyaki mengandungi kertas undi pos pilihan raya umum bagi jawatan presiden Indonesia (Pilpres) 2019 di Kajang.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya menerima 2 laporan berkenaan sejak semalam.

“Saya hanya boleh sahkan setakat semalam, hanya 2 laporan polis yang kami terima, kes ini masih dalam siasatan lagi,” katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu kerana difahamkan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini dalam masa terdekat.

Semalam, tular di media sosial mengenai penemuan ratusan plastik hitam dan putih yang dikatakan mengandungi kertas undi pos Indonesia di sebuah premis kosong.

Kira-kira 80 hingga 90% daripada 1.5 juta pengundi berdaftar Indonesia yang berada di Malaysia akan mengundi pada hari pengundian awal Ahad ini dari 8 pagi hingga 6 petang di 255 lokasi pusat mengundi di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu.

Hari mengundi di Indonesia ditetapkan pada 17 April ini, dengan lebih 192 juta rakyat Indonesia akan menentukan sama ada Joko Widodo atau Prabowo Subianto yang akan menjadi pemimpin mereka bagi penggal 2019 hingga 2024.

Dalam Pilpres 2019, Jokowi akan mempertahankan jawatan presiden Indonesia untuk penggal ke-2 bersama gandingan baru, Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh di Indonesia sebagai naib presiden, manakala Prabowo, bekas leftenan jeneral dalam angkatan tentera Indonesia akan bergandingan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.