Ribuan langgar perintah berkurung di Sudan, seru solat besar-besaran

(Gambar Reuters)

KHARTOUM: Ribuan penunjuk perasaan berkhemah di kementerian pertahanan Sudan di Khartoum bagi mendesak penubuhan kerajaan awam, melanggar perintah berkurung dan menyeru solat besar-besaran selepas tentera menggulingkan Omar al-Bashir selepas 30 tahun pemerintahan autokraik.

Penunjuk perasaan yang hampir setiap hari mengadakan tunjuk perasaan anti-Bashir menolak keputusan tentera menubuhkan majlis peralihan kuasa untuk mentadbir negara selama 2 tahun, dan berikrar tunjuk perasaan akan diteruskan sehingga kerajaan awam ditubuhkan.

Aktivis menyeru solat Jumaat besar-besaran di luar kementerian pertahanan, yang menjadi tumpuan kegiatan tunjuk perasaan.

Khemah-khemah besar didirikan di luar kementerian dan orang ramai membawa masuk makanan dan air untuk penunjuk perasaan yang semakin ramai, kata saksi Reuters.

Ahmed al-Sadek, seorang peniaga berusia 39 tahun, belum pulang ke rumah untuk tidur sejak tunjuk perasaan bermula pada Sabtu lepas.

Aktivis memakai rompi kuning mengawal trafik di sekitar kementerian dari pagi tadi dan mengawal pergerakan pejalan kaki yang pergi dan balik dari tunjuk perasaan hari ini, kata saksi Reuters.

Mereka juga mendirikan sekatan di jambatan utama di tengah bandar Khartoum.

Bashir, 75, berdepan tunjuk perasaan 16 minggu terhadapnya. Menteri Pertahanan, Awad Mohamed Ahmed Auf ketika mengumumkan presiden digulingkan berkata pilihan raya akan diadakan selepas 2 tahun pemerintahan sementara.

Kuasa-kuasa dunia, termasuk Amerika Syarikat dan Britain menyokong peralihan kuasa secara aman dan demokrasi lebih awal daripada 2 tahun.

Auf termasuk dalam senarai orang-orang yang dihekendaki Washington kerana peranannya dalam konflik Darfur, bermakna semua asetnya di AS dibekukan dan rakyat AS dilarang menjalankan urusan perniagaan dengannya, kata Kedutaan AS.

Aur ketika berucap menerusi televisyen rasmi semalam berkata Bashir ditahan di satu kawasan selamat dan majlis tentera, yang diketuainya, kini mentadbir Sudan.

Sumber-sumber Sudan memberitahu Reuters bahawa Bashir ditahan di kediaman presiden bawah kawalan ketat.

Majlis tentera menubuhkan sebuah jawatankuasa politik yang akan bertemu parti-parti politik dan diplomat asing hari ini, menurut laporan media rasmi.

Majlis tentera juga akan mengadakan sidang media hari ini.

Auf juga mengumumkan darurat, gencatan senjata seluruh negara dan perlembagaaan digantung. Beliau mengumumkan perintah berkurung berkuatkuasa dari 10 malam hingga 4 pagi.

Penganjur utama tunjuk perasaan terhadap Bashir, Persatuan Profesional Sudan, menolak rancangan Auf. Ia menyeru penunjuk perasaan terus menunjuk perasaan di luar kementerian pertahanan.

Ribuan penunjuk perasaan mencabar majlis tentera dengan membanjiri depan kementerian pertahanan, dan beberapa bahagian di ibu negara, ketika perintah berkurung berkuatkuasa.

Mereka melaungkan “Mereka gulingkan pencuri dan angkat seorang pencuri!” dan “Revolusi!”.

Beberapa kedai di Omdurman, di seberang Sungai Nil di Khartoum, terus dibuka sehingga selepas 10 malam, kata saksi Reuters.

Bashir didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda dan berdepan waran tangkap atas dakwaan pembunuhan kaum di wilayah Darfur ketika insurgensi tercetus pada 2003 dan membawa kepada kematian kira-kira 300,000 orang.

Bashir menafikan dakwaan itu.

Kejatuhan Bashir merupakan kejadian kedua seorang pemimpin dijatuhkan bulan ini selepas tunjuk perasaan besar-besaran.

Abdelaziz Bouteflika di Maghribi, yang berkuasa sejak 1999, berundur pada 2 April selepas 6 minggu tunjuk perasaan.