Selepas keluar IJN, Hadi bantu kempen Tok Mat di Rantau

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hadir membantu kempen calon BN, Mohamad Hasan di PRK Rantau malam tadi.

SEREMBAN: Berbaki satu hari kempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang muncul membantu calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan selepas 4 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Di pentas ceramah perdana BN di Taman Angsamas di sini malam tadi, Hadi bukan sahaja hadir bersama seteru politikya selama lebih 60, iaitu Umno, tetapi pemimpin parti Islam itu turut muncul bersama-sama pemimpin MCA dan MIC, termasuk Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

Turut kelihatan ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan serta barisan pimpinan komponen pakatan pembangkang, termasuk dari Kimma, IPF dan Makal Sakti.

Dalam ucapannya Hadi berkata, pengundi Rantau perlu memberi undi kepada Mohamad kerana beliau merupakan individu paling layak dipilih sebagai wakil rakyat berbanding calon lain.

“Beliau menunjukkan kebolehan ketika menjadi menteri besar, berjaya tingkatkan ekonomi negeri, kewangan negeri, yang kini ditumpang oleh Pakatan Harapan (PH) yang menang,” katanya,

Hadi turut menekankan bahawa Malaysia mempunyai masyarakat majmuk dan perlu dipimpin oleh individu yang tahu mengurus semua kaum.

“Memilih pemimpin masyarakat majmuk tak boleh ambil kira satu kaum sahaja, kena ambil kira semua kaum, semua bangsa, tampa memilih warna kulit. Tuhan suruh kita adil semua kaum,” katanya.

Hadi berkata, beliau memberitahu Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon yang menziarahinya baru-baru ini bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana ia merupakan sebuah parti ekstremis dan fanatik.

“Kami tidak boleh (bekerjasama) dengan DAP. Kenapa? Sebab ekstrem, terlalu fanatik kaum. Tidak boleh.

Hadi berkata, perkara sama turut dizahirkannya kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew sebanyak 2 kali.

Katanya, beliau turut berkongsi pandangan dengan wakil Singapura itu tentang konsep keadilan Islam dalam masyarakat majmuk dan pengalaman PAS mentadbir Kelantan dan Terengganu.

PH amal cara pemerintahan Pak Pandir

Hadi turut membidas langkah kerajaan PH yang terus menjadikan kepincangan kerajaan sebelum ini sebagai alasan kegagalan gabungan itu menunaikan janji manifesto sehingga membantutkan pentadbiran Putrajaya.

“Kita semua ada masalah, yang tidak ada masalah Tuhan sahaja. Sepatutnya (PH) baiki kelemahan, bukan menyalahkan orang lain. Berbahas di Parlimen mereka kata tanya kerajaan dulu. Ini salah, ini macam Pak Pandir. Tak boleh calon Pak Pandir. Kita perlu pilih calon yang kuat, jangan pilih yang gagal,” katanya.

Hadi turut menyindir pemimpin yang pandai “berlakon” dan tidak bersifat jujur kepada rakyat.

Orang ramai yang hadir mendengar ceramah perdana BN di Rantau.

“Kami (PAS) turut bekerja keras untuk menangkan Mohamad Hasan. Pilihan raya bukan macam peraduan peragawati nak pamerkan pakaian di luar nampak elok, tetapi di belakang koyak.

“Tempat orang Melayu pakai Melayu, tempat India pakai India, tempat Cina pakai Cina, tempat kuliah maghrib (beri) kuliah maghrib, tempat menari (dia boleh) menari,” katanya, dipercayai merujuk kepada seorang pemimpin kanan PH.

PAS maafkan Umno untuk selamatkan negara

Hadi juga berkata, PAS bersedia memaafkan kesalahan Umno yang didakwa “membuli” parti itu sewaktu ia menjadi kerajaan sebelum ini.

“Macam-macam Umno buat kepada PAS, tangkap masuk ISA, sekat royalti Kelantan. Itu cerita lama, kita boleh
maafkan kerana ada benda yang lebih besar, iaitu selamatkan negara ini,” katanya.

Hadi berkata, beliau memaafkan Umno kerana mahu menyelamatkan negara daripada dirosakkan PH yang terus menggugat asas negara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

“Kita terima kontrak sosial. Di sini (Malaysia) boleh buka sekolah Tamil, sekolah Cina. Di Indonesia tidak boleh buka macam kita. Di China tidak boleh kita buka sekolah Melayu, tidak boleh,” katanya.

Mohamad dalam ucapannya mengaku terharu dengan sokongan kuat yang diberikan oleh PAS kepadanya di situ, sementara Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata, gabungan PAS dan Umno sangat menggusarkan DAP.

Dalam pada itu, Saravanan yang mewakili MIC berkata, parti itu menerima kerjasama PAS dan Umno dan percaya ia akan membantu menguatkan BN.

PH dijadualkan mengadakan ceramah perdananya hari ini sebagai penutup tirai kempen yang bakal berakhir jam 12 tengah malam itu.

PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April itu menyaksikan Mohamad berdepan saingan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu bekas penyampai radio, Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN berkenaan, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.