SPR nafi berat sebelah di Rantau

Azhar Azizan Harun bercakap kepada wartawan di luar SJK (C) Sri Sendayan di Seremban, hari ini.

SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menolak dakwaan ia berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan sepanjang kempen pilihan raya kecil Rantau.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR sudah mengambil 16 tindakan sekak kempen bagi kerusi Dewan Undangan Negeri itu bermula 30 Mac lalu.

Katanya, masing-masing 8 tindakan diambil terhadap Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Jadi, kita sudah bertindak adil. Kita tidak berat sebelah,” katanya kepada wartawan selepas melawat SJK (C) Sri Sendayan pagi tadi.

Azhar berkata, kesalahan itu termasuk berkempen tanpa permit dan memasang sepanduk serta kain rentang walaupun tidak bertanding dalam PRK itu.

Semalam, calon BN, Mohamad Hasan membayangkan SPR berat sebelah dengan mendakwa ia akan mengambil tindakan segera terhadap kesalahan dikaitkan dengan BN.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut menggesa SPR menghentikan program anjuran PH yang dikatakan melanggar undang-undang pilihan raya.