Sumbangan anda penentu hidup di kem pelarian Rohingya, kata Lisa Surihani

Lisa Surihani berasa terharu sepanjang lawatan ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar. (Gambar UNICEF/2019/AungmakhaiChak)

KUALA LUMPUR: Sumbangan Malaysia menjadi penentu kelangsungan kem pelarian Rohingya di Bangladesh yang menempatkan lebih 600,000 orang, kata Duta Kebangsaan Unicef, Lisa Surihani.

“Sumbangan yang disalurkan benar-benar berkesan dalam membantu pelarian di sana, terutamanya kanak-kanak,” katanya pada sidang media di pejabat Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) hari ini.

Lisa, seorang pelakon terkenal berkata, kem pelarian di Cox’s Bazaar itu semakin membesar dengan penambahan kem-kem baru untuk menempatkan golongan itu dari negara asal mereka, Myanmar.

“Anda tidak boleh bayangkan betapa besarnya tapak kem pelarian itu. Ia tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata sehingga anda lihat sendiri dengan mata kasar,” kata Lisa.

Sebahagian daripada kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar yang menempatkan lebih 600,000 orang. (Gambar UNICEF/2019/AungmakhaiChak)

Atas sebab itu, katanya, semakin banyak fasiliti dan keperluan yang perlu ditambah, terutamanya menjelang Ramadan yang bermula di minggu pertama bulan depan.

Sebelum ini, Lisa bersama 9 orang lagi, yang terdiri daripada pegawai Unisef dan wakil media, melawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh dari 2 hingga 5 April lalu.

Jelasnya, terdapat lebih 18 kem di tapak kem pelarian tersebut dengan lebih 600,000 pelarian.

“Lebih 250,000 daripada mereka kanak-kanak. Sebahagian daripada mereka tidak ada ibu bapa atau penjaga.”

Tambahnya, selain klinik kesihatan dan pusat perlindungan, terdapat juga 1,600 pusat pembelajaran untuk kanak-kanak dan pusat kegiatan aktiviti untuk kaum wanita.

Lisa tersentuh melihat keadaan bayi, Kurban Ali, yang mengalami masalah kekurangan nutrisi. (Gambar UNICEF/2019/AungmakhaiChak)

“Tiada seorang lelaki dibenarkan masuk. Semua wanita, dari kanak-kanak hingga gadis. Mereka bersosial di situ dan membuat pelbagai aktiviti bersama,” katanya.

Menurut Lisa, semua pusat yang terdapat di Cox’s Bazaar beroperasi dan bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang disalurkan oleh masyarakat seluruh dunia.

“Bantuan kemanusiaan benar-benar membantu komuniti lain. Saya lihat sendiri bagaimana nilai-nilai kemanusiaan berfungsi dalam menyelamatkan nyawa orang lain dan kesengsaraan pelarian di kem-kem pelarian,” katanya.

Lisa berhasrat menunjukkan kepada dunia bahawa bantuan kemanusiaan membantu dalam menyokong usaha memberi keadilan kepada golongan pelarian.

Sumbangan boleh dibuat melalui pembayaran dalam talian di lama web rasmi Unicef bermula hari ini.