Tok Mat bidas kain rentang provokasi untuk takutkan pengundi Cina

Kain rentang provokasi dalam bahasa Cina ‘undi BN sama dengan undi PAS’ berserta gambar Hadi Awang dan Mohamad Hasan dalam lakaran berbentuk hati serta lukisan gelas dan babi dengan tanda larangan.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan menyifatkan kain rentang mengkritik kerjasama Umno dan PAS yang dipasang di sekitar Rantau sebagai cubaan untuk menakutkan pengundi Cina.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, pemasangan kain rentang itu memberi persepsi kepada pengundi Cina yang sokongan kepada BN ibarat mengundi PAS.

“Ada kain rentang provokasi di Rantau nak takutkan pengundi Cina.

“Siapa yang melarang penjualan arak di Kelab Golf Seremban…saya atau menteri besar PH?” soalnya dalam sidang media di Rantau hari ini.

Kain rentang itu ditulis dalam bahasa Cina “undi BN sama dengan undi PAS” berserta gambar Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Mohamad dalam lakaran berbentuk hati serta lukisan gelas dan babi dengan tanda larangan.

Ia selepas 2 kain rentang provokasi dalam bahasa Melayu “Jangan beri dia kuasa, mari bangkit Melayu Negeri” dan “Kita ganyang sama dia, buktikan kita anak jati Rantau” dikesan dipasang di sekitar Rantau, minggu lalu.