14 pusat pengundian PRK Rantau tutup, lebih 70% keluar mengundi

SEREMBAN: Semua 14 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau ditutup tepat pukul 5.30 petang sejak dibuka pada 8.00 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat pukul 4.00 petang ialah 74%.

Sejurus pusat pengundian ditutup, semua peti undi daripada 53 saluran dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumumkan pada 10 malam.

PRK itu menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon Pakatan Harapan, Dr S Streram, 60; calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, 63; dan 2 calon Bebas iaitu R Malarvizhi, 51, serta Mohd Nor Yassin, 67.

DUN Rantau dengan keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 4 orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal.

Daripada jumlah itu, 55.51% atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46% atau 3,863), India (26% atau 5,441) dan lain-lain (0.03% atau 7 orang).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).