Abang sulung yakin Tok Mat kekal wakili DUN Rantau

Azman (kanan) mengangkat tangan Mohamad ketika mereka bertembung setelah selesai mengundi di pusat mengundi SJKC Chung Hua di sini hari ini.

SEREMBAN: Hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memperlihatkan sokongan padu keluarga calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan termasuk daripada abang sulung beliau yang turut hadir mengundi dan memberi sokongan.

Azman Hasan tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua jam 8.05 pagi dengan berkerusi roda ditemani isterinya untuk tujuan itu.

Katanya, ini kali ke-15 beliau mengundi sejak 1959.

“Saya undi sebab adik saya masih bertanding. Susah macam mana pun saya akan bangun dan datang mengundi. Saya sudah sedia untuk mengundi sejak subuh lagi.

“Saya datang nak beri sokongan kepada adik saya. Kalau adik yang bertanding, takkan saya tak keluar mengundi.

“Tok Mat mesti menang. Dia akan menang. Dia tidak boleh kalah demi perjuangan bangsa, agama dan tanahair,” katanya bersemangat sebaik selesai mengundi di saluran 1 di pusat mengundi terbabit.

Terdahulu Mohamad tiba di pusat pengundian yang sama pada jam 8.20 pagi ditemani isteri beliau, Raja Salbiah Tengku Nujumudin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menempatkan 515 petugas di semua pusat pengundian hari ini dan menjangka 70% pengundi akan keluar mengundi sebelum tempoh mengundi berakhir petang ini.

PRK ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan Streram; Mohamad Hasan; dan calon Bebas, suri rumah Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Proses mengundi yang dijadualkan berjalan selama 9 jam setengah itu membabitkan seramai 20,793 orang daripada keseluruhan 20,804 orang pengundi biasa yang layak mengundi. Seramai 11 pengundi mengundi secara pos.

Pengundian akan ditutup pada jam 5.30 petang ini.