BN menang hatrik, Tok Mat pertahan Rantau

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan majoriti selesa, 4,510 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad Hasan mendapat 10,397 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan, Dr S Streram yang memperolehi 5,887 undi.

Dua calon bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 83 undi dan 79 undi.

Pegawai Pengurus PRK Rantau Mohd Nizam Tajul Arus membuat pengumuman itu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan.

Kemenangan Mohamad hari ini merupakan kemenangan hatrik BN dalam PRK, selepas Parlimen Cameron Highland, dan DUN Semenyih.

Menurut SPR, peratusan pengundi keluar mengundi sehingga semua 14 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi ialah 79.31%, melepasi sasaran SPR.

Mohamad memenangi DUN Rantau sejak 2004.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 4 orang pengundi tidak hadir berada di luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51% atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46% atau 3,863), India (26% atau 5,441) dan lain-lain (0.03% atau 7 orang).

Mohamad pada sidang media selepas kemenangannya diumumkan berkata saluran orang muda banyak memihak kepada Barisan Nasional.

“Kita akan jadi semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan PH,” katanya.

PRK DUN Rantau adalah PRK ke-7 diadakan selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, dengan PRK pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac)

PRK diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama 3 penggal, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.