Dakwaan Streram berkempen pada hari mengundi, SPR minta bukti

Pengerusi SPR Azhar Harun berkata, mana-mana pihak yang melihat dan mempunyai bukti calon PH Dr S Streram berkempen pada hari mengundi hari ini membuat laporan polis.

SEREMBAN: Perbuatan calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram yang didakwa merayu undi dalam satu sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau pagi tadi, merupakan satu kesalahan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun berkata, ini kerana tiada sebarang aktiviti berkempen dibenarkan pada hari pengundian.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang melihat kejadian itu dan mempunyai bukti diminta membuat laporan polis.

“Kalau betul beliau berkempen, ia memang merupakan satu kesalahan kerana pada hari mengundi tak boleh berkempen.

“Jika ada bukti, video semua, saya mohon buat laporan polis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Nyatoh di sini hari ini.

Pagi tadi, ketika bercakap kepada pemberita Streram meminta pengundi supaya mengundi PH.

“Saya merayu kepada semua untuk undi PH. Hari ini juga adalah hari yang saya tunggu untuk mengambil tempat di DUN Rantau ini,” katanya.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann yang dihubungi sebelum ini berhubung isu sama berkata, berdasarkan lafaz Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, berkempen pada hari mengundi adalah satu kesalahan.

Dakwaan calon merayu undi atau berkempen pada hari mengundi bukanlah perkara baru kerana ia pernah dilaporkan berlaku pada PRK DUN Semenyih sebelum ini.

PRK DUN Rantau menyaksikan persaingan 4 penjuru antara Streram dengan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan dan calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

Proses pengundian yang bermula jam 8 pagi tadi dijadualkan tamat pada 5.30 petang dan pengumunan keputusan pilihan raya dibuat malam ini.