Jajaran baru ECRL beri manfaat kepada Negeri Sembilan, kata penganalisis

Putrajaya mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion dan jarak perjalanan dipendekkan dari 688km kepada 648km. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pengumuman tentang jajaran baru Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan Pantai Barat dan Timur semanjung Malaysia melalui Negeri Sembilan seharusnya dilihat dari sudut positif, kata Prof Madya Dr Ahmed Razman bin Abdul Latiff.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School dari Universiti Putra Malaysia berkata, pembinaan stesen di Jelebu dan Kuala Klawang mempunyai nilai strategiknya yang tersendiri.

“Stesen di Negeri Sembilan sebenarnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan ini mampu meningkatkan ekonomi di sekitar kawasan tersebut,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun Razman menganggap negeri berkenaan tidak akan memperoleh impak yang sama berbanding pembinaan sebuah lapangan terbang baru di Kulim, Kedah.

“Kulim akan menjadi pintu keluar masuk penumpang dan kargo secara langsung, tetapi bagi Negeri Sembilan, stesen ini harus mempunyai rangkaian tambahan ke pelabuhan atau lapangan terbang untuk pasaran eksport dan import, yang pada masa ini belum ada di negeri itu.

“Limpahan ekonomi itu tetap ada, cuma lebih kepada mewujudkan peluang pekerjaan di sekitar stesen tersebut dan aliran penumpang dan kargo untuk pasaran domestik sahaja.

Kata Razman, Negeri Sembilan mempunyai potensi ekonomi yang amat tinggi, namun kerajaan perlu mencari industri sesuai yang boleh berperanan membangunkan negeri itu.

“Kedudukan Negeri Sembilan strategik. Ia dekat dengan Sepang yang mempunyai KLIA dan KLIA2 serta Aeropolis.

“Apa yang penting ialah mengenalpasti ‘niche’ atau keistimewaan serta kelebihan negeri itu dalam industri tertentu yang bersifat lestari,” katanya.

Razman berkata, Putrajaya juga mengambil kira bantahan kerajaan negeri Selangor berkenaan pemeliharaan Klang Gates Quartz Ridge yang berjarak 5km sekiranya laluan ECRL dibina di Gombak.

“Selangor sebelum ini membantah laluan asal ECRL kerana ia akan menjejaskan usaha kerajaan negeri itu mendapatkan status tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16 kilometer, iaitu permatang kuartz terpanjang di dunia,” katanya.

Semalam, Putrajaya mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion dan jarak perjalanan dipendekkan dari 688km kepada 648km.

Stesen ECRL Kuala Lumpur-ITT Gombak-Gombak Utara-Bentong kan digantikan dengan stesen Pelabuhan Klang-Putrajaya-Kajang-Bangi-Kuala Klawang-Jelebu ke Mentakab di Pahang dan Kota Bharu di Kelantan.