Kalah tak jejas kedudukan Anwar, kata pengarah pilihan raya

Pemerhati politik berpandangan kekalahan akan menjadi penghalang kepada Anwar menjadi perdana menteri.

RANTAU: Kekalahan calon PKR pada pilihan raya kecil Rantau malam tadi tidak akan memakan diri Anwar Ibrahim atau menjejaskan masa depan politiknya mahupun kepimpinannya, kata Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Aminuddin Harun.

Bercakap kepada pemberita selepas kiraan undi selesai, Aminuddin berkata pilihan raya kecil itu bukan pertarungan antara presiden PKR itu dan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, yang menang dengan majoriti 4,510 undi, tetapi antara Dr Streram Sinnasamy dan Mohamad.

Aminuddin berkata Anwar berkempen sebaik mungkin dan memainkan peranannya dengan berkesan untuk calon pilihan, Streram.

“Banyak perkara yang perlu ditambahbaik,” kata Aminuddin. “Kita iktiraf keputusan rakyat dan kami akan kaji trend pengundian.”

Beliau megnambil maklum majoriti yang diperolehi Mohamad “tidak bertambah banyak daripada PRU13”.

Sebelum pilihan raya, pemerhati politik berpandangan kekalahan akan secara tidak langsung memberi kesan pada harapan Anwar menjadi perdana menteri dalam masa terdekat.

Kemenangan bagi PKR akan membuktikan pada pengkritik, termasuk dalam PH, bahawa dia masih dihormati ramai.

Mohamad menang dengan 10,397 undi malam tadi, menewaskan Streram yang meraih 5,887 undi. Calon bebas Malar Rajam raih 83 undi dan Mohd Nor Yassin 79 undi.

Aminuddin juga memberi bayangan pengundi Cina dan India, yang membentuk hampir 50% pengundi, tidak keluar mengundi beramai-ramai, dan perkembangan itu perlu dikaji dalam bedah siasat PH.

Beliau berkata pengundi India khususnya tidak yakin dengan calon lain menjadi wakil rakyat walaupun sekaum.

Sementara pengundi lain, terutamanya penjawat awam, mungkin sudah selesa dengan BN, memandangkan kerusi itu sentiasa diwakili oleh calon seperti Mohamad.