Kemenangan PRK Rantau referendum pengundi muda, Tok Mat beritahu PH

SEREMBAN: Mohamad Hasan melihat kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil DUN Rantau sebagai di luar jangka, kerana kemenangan selesa yang diperolehinya sebahagian besar disumbangkan oleh saluran pengundi muda.

Timbalan presiden Umno itu berkata BN amat gembira melihat keputusan yang diperolehi daripada saluran-saluran orang muda yang dulu ditakutinya mereka.

“Saluran orang mudalah yang banyak berikan kita majoriti kepada kemenangan BN,” katanya pada sidang media di Dewan SJKC Seri Sendayan selepas kemenangannya diumumkan malam tadi.

Mohamad percaya pengundi muda sensitif dengan persekitaran mereka terutama keadaan politik semasa.

“Inilah referendum mereka melalui peti undi pada PRK Rantau hari ini,” katanya.

Beliau berkata undi yang diperolehinya, dengan majoriti 4,510 undi mengatasi calon Pakatan Harapan dan 2 pencabar lain, hasil sokongan pelbagai kaum di Rantau.

“Orang boleh kata BN boleh mudah menang kerana ramai pengundi Melayu, tetapi di sini cuma kira-kira 53% pengundi Melayu dan yang lain-lain pengundi India dan Cina,” katanya.

Beliau berjanji Barisan Nasional bersama PAS dan parti-parti pembangkang lain akan terus memeriksa dan menyemak prestasi kerajaan Pakatan Harapan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Kita tahu terdapatnya kelemahan pentadbiran yang ketara,” katanya.

Mohamad berkata kemenangan BN menunjukkan kepada PH bahawa rakyat tidak boleh menerima cara kempen gabungan itu.

“Memang banyak tuduhan peribadi yang dilemparkan kepada saya terutamanya juga kepada Najib Razak yang tak sudah-sudah seolah-olah beliau yang bertanding,” katanya.

“Rakyat mahu dengar ke manakah arah tuju negara ketika ini, tapi asyik menuduh orang lain dan cakap kesalahan BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad Hasan mendapat 10,397 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan, Dr S Streram yang memperolehi 5,887 undi.

Dua calon bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 83 undi dan 79 undi.

Sementara itu, Najib Razak pada sidang media yang percaya pengundi Rantau memilih Barisan Nasional atas dasar kualiti calon yang bertanding.

Bekas perdana menteri itu berkata Pakatan Harapan tewas meskipun pemimpin-pemimpin utama gabungan itu turun membantu kempen calon mereka, Dr S Streram dari PKR.

“Ketokohan Mohamad jauh lebih bagus nilainya dalam kalangan pengundi berbanding dengan pecabarnya,” katanya kepada pemberita selepas meraikan kemenangan Mohamad.

Najib mengingatkan bahawa pengundi Rantau memilih Barisan Nasional walaupun Pakatan Harapan adalah pemerintah.

“Itu menunjukkan rakyat tahu memilih siapa yang benar-benar mereka mahu sebagai Adun,” katanya.

Beliau juga sempat mendakwa pengundi Rantau “menyesal” dengan pilihan mereka pada pilihan raya umum lepas.

“Kali ini mereka nak sokong BN,” katanya.