Lebih 1,000 anggota polis dikerah pastikan PRK Rantau hari ini lancar

Polis menasihatkan penyokong parti terlibat supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan.

SEREMBAN: Polis menempatkan lebih 1,000 anggota bagi memastikan perjalanan hari mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini berjalan lancar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Rosli Ishak berkata, kesemua anggota yang ditugaskan sepanjang hari mengundi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sejak hari penamaan calon kita telah mengerah anggota melakukan kawalan sepanjang PRK DUN Rantau. Dengan kekuatan anggota yang ada sehingga kini saya yakin dan percaya kita sudah cukup bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya di sini, semalam.

Beliau menasihatkan penyokong parti terlibat supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan.

“Pihak polis meminta supaya para penyokong tidak mengadakan perarakan di mana-mana laluan lalu lintas. Sekiranya mereka (penyokong) melakukan sebarang kekecohan, pihak polis tidak teragak-agak mengenakan sebarang tindakan undang-undang kepada mereka,” katanya.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka bermula dari 8 pagi hingga 5.30 petang.

Seramai 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi esok dan daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang telah mengundi secara pos.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara calon Pakatan Harapan, Dr S Streram, calon Barisan Nasional Mohamad Hasan dan 2 calon Bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.