Personaliti calon penyumbang peratusan keluar mengundi tinggi, kata SPR

Azhar Azizan Harun.

SEREMBAN: Faktor personaliti calon yang bertanding menyumbang kepada jumlah peratusan mengundi yang tinggi pada PRK DUN Rantau, iaitu sebanyak 79.3%.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, antara faktor lain adalah kesedaran pengundi yang semakin bertambah.

“Peratusan ini mula naik sedikit demi sedikit selepas PRK Port Dickson dan klimaksnya di PRK DUN Rantau.

“Selain itu, media massa juga berjaya menaikkan minat pengundi untuk keluar mengundi,” katanya kepada media selepas pengumuman rasmi keputusan PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata, setakat semalam sebanyak 23 kesalahan direkodkan pihak pemantau dan 50 laporan polis dibuat.

“Secara amnya ia melibatkan kesalahan kecil seperti memasang sepanduk yang tiada nama pencetak dan kempen tiada permit,” katanya.

Ditanya mengenai aspek yang boleh diperbaiki bagi PRK Sandakan, Azhar berharap penyokong dan parti-parti politik dapat mengikut peraturan dan undang-undang pilihan raya.

“Kita perlu hormati undang-undang, kalau tak kita akan kacau bilau,” katanya.

Keputusan PRK DUN Rantau menyaksikan BN yang diwakili oleh Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,510 undi.

Mohamad memperoleh 10,397 undi sekaligus menewaskan calon PH, Dr S Streram yang mendapat 5,887 undi.

Dua calon Bebas iaitu R Malar memperolehi 83 undi manakala Mohd Nor Yassin 79 undi sekaligus menyebabkan mereka hilang wang deposit.